Bonus diberi setelah peruntukan dilulus MOF - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri tidak mengumumkan bonus untuk penjawat awam di Terengganu dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Isnin berikutan enggan menjanjikan sesuatu yang belum pasti.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagaimanapun perkara tersebut akan diumumkan sekiranya kerajaan negeri telah menerima peruntukan yang mencukupi daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Beliau menjelaskan, ini kerana kerajaan negeri perlu membuat permohonan kepada MOF bagi setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.
"Dalam keadaan sekarang, kita nak umumkan dari segi angka dan jumlah itu, kita kena mohon dahulu (dari MOF).
"Setelah dapatkan pengesahan bahawa ia (peruntukan) akan diberi barulah kita laksanakan.
"Jadi kalau kita umum dahulu (bonus) namun tak dapat pengesahan lagi, bermakna kita umum benda yang tak ada lah....sebab itu kita nak umum benda yang ada (setelah peruntukan diluluskan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan mengumumkan pemberian bonus kepada penjawat awam di negeri ini setelah peruntukan yang dimohon kepada MOF telah diluluskan.
"Surat telah dihantar kepada MOF beberapa bulan lalu untuk dapat kelulusan. Sudah dapat kelulusan barulah kita umumkan (bonus).
"Insya-ALLAH...(bonus) ada. Kita akan umum kemudian setelah dapat kelulusan," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai jumlah bonus yang bakal diperolehi kira-kira 14,000 penjawat awam di Terengganu, Ahmad Samsuri memaklumkan ia juga tertakluk kepada kelulusan yang bakal diberi MOF nanti.
-- TAMAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!