Perak tunggu laporan JKN selesai isu Klinik Kesihatan Tanjong Malim
IPOH - Kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sebelum langkah baru diambil berhubung pindaan waktu operasi Klinik Kesihatan Tanjong Malim daripada 24 jam sehari kepada 8 pagi hingga 5 petang.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, siasatan menyeluruh perkara itu telah dijalankan dan laporan lengkap akan diserahkan minggu hadapan.
"Saya telah arahkan JKN untuk menyediakan kaunter khas agar pesakit dan pelawat di sana dapat mengemukakan masalah dihadapi dan dari situ tindakan kita ambil untuk perbaiki.
"Semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti (dijadualkan 29 November), saya akan berikan kenyataan penuh mengenai perkara ini," katanya dalam sidang akhbar Sambutan Deepavali peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Klinik Kesihatan Tanjong Malim menghentikan operasi 24 jam bermula 1 Ogos lepas dengan alasan menyeragamkan operasi seperti klinik luar di bandar lain.
Penyelarasan itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduk tempatan terutama bagi mereka yang mahu menggunakan perkhidmatan klinik pada waktu kecemasan selepas waktu bekerja.
Sivanesan berkata, perkara itu sudahpun dalam pengetahuan Kementerian Kesihatan (KKM), malah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sendiri maklum perkara rungutan dan kebimbangan penduduk setempat.
"Secara amnya kita sentiasa memantau pengoperasian semua klinik di negeri ini. Mana-mana isu atau kekurangan yang berlaku, kita akan atasi dengan cara terbaik untuk semua pihak," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sambutan Deepavali peringkat negeri akan diadakan pada 23 November ini di Stadium Indera Mulia diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Katanya, sambutan kali ini lebih istimewa kerana mengambil konsep 'perang terhadap gula' seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025.
"Kali ini kita tidak menyediakan minuman berwarna, syrup (kordial), apatah lagi teh tarik yang mengandungi gula tinggi. Makanan berminyak juga tidak dibenarkan.
"Saya sudah arahkan pegawai kesihatan untuk adakan taklimat dengan pembekal makanan, dari mula pakaian mereka hinggalah aspek pengendalian makanan pada hari tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!