DUN Sabah: Belanjawan Sabah 'gula-gula' pilihan raya
KOTA KINABALU - Ketua pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu sebagai bajet pilihan raya atau 'gula-gula' untuk menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan belanjawannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini ialah berkaitan tiada langsung dinyatakan untuk menoktahkan miskin tegar di Sabah.
"Sebenarnya, kalau kita lihat bukan lagi semacam (gula-gula untuk pilihan raya), ini adalah 'election budget'.
"Saya bangkitkan pagi tadi, tidak ada langsung yang dinyatakan mereka telah menoktahkan miskin tegar di Sabah ini dengan memberi RM300 setiap bulan atau dari segi penyediaan rumah mungkin hanya berapa puluh rumah yang ada, (tetapi) banyak miskin yang tegar di situ.
"Kalau kita menggunakan konsep pembangunan masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai ilmu, latihan, kemahiran tetapi dilibatkan dan ini langkah wang berbilion harus digunakan sebaik mungkin untuk diberi manfaat," katanya dalam sidang akhbar selepas sesi perbahasan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu turut berkata, pembentangan belanjawan pada Jumaat lalu juga tidak menunjukkan langkah konkrit untuk menyelesaikan isu miskin tegar rakyat Sabah walaupun diumumkan bantuan RM300 untuk golongan tersebut.
"Jadi apabila saya mendengar pembentangan ini, tiada langkah yang konkrit jangka panjang, ini mungkin jangka pendek saja. Bagi bantuan, alhamdulillah, bukan kita tidak perlu untuk memberi bantuan kepada masyarakat kerana mereka berhadapan dengan harga barang yang mereka tidak mampu, dengan tiada pekerjaan dan kemudahan asas yang tidak sempurna.
"Maka harus ada langkah-langkah yang tegas supaya jangan ada ketirisan dan rasuah untuk memastikan perkara ini dapat mengatasi masalah (miskin) kerana implikasi yang berlaku di Sabah ini turut memberi kesan kepada peringkat Pusat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!