PTPTN perlu teliti keberkesanan pembiayaan, pastikan hak pelajar tak terjejas
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu meneliti keberkesanan pembiayaan pendidikan jika mahu menghentikan pembayaran bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang daripada 30 peratus.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Arshad Hassni berkata, perkara tersebut agar tidak menjejaskan akses atau dinafikan hak untuk para pelajar belajar di Institusi Pengajian Awam (IPTA).
Beliau turut mencadangkan supaya PTPTN memberi keutamaan kepada tawaran pinjaman pendidikan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang seperti peralihan tenaga, elektrik atau elektronik (E&E) dan kecerdasan buatan (AI).
“Pendekatan ini juga selaras dengan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM500 juta khusus untuk pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di IPTA.
“Dengan menumpukan pembiayaan kepada bidang strategik dapat memastikan graduan tidak terbeban dengan hutang akibat ketiadaan pekerjaan atau gaji yang rendah selepas tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, PTPTN akan berbuat demikian setelah meneliti beberapa aspek dan faktor secara menyeluruh sebelum buat sebarang keputusan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan rasmi berhubung cadangan untuk menghentikan pembiayaan bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang daripada 30 peratus.
Dalam pada itu, Arshad memaklumkan, langkah berkenaan akan membantu penstrukturan bakat ke arah bidang berkemahiran tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang amat diperlukan dalam pasaran kerja semasa.
“AMK menyokong usaha ini dan percaya bahawa strategi pembiayaan yang berfokus tersebut akan meningkatkan kebolehpasaran graduan, menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan pelaburan dalam pendidikan memberikan pulangan optimum kepada individu serta masyarakat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!