Kanada labur RM12.3 juta dalam CCOE Malaysia
KUALA LUMPUR - Kerajaan Kanada akan melabur sebanyak 3.9 juta dolar Kanada (RM12.3 juta) dalam Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Malaysia (CCOE) untuk mengukuhkan kerjasama dan kepakaran keselamatan siber di rantau ini melalui peluang latihan kemahiran termasuk untuk wanita.
Sokongan dari Kanada akan disalurkan melalui BlackBerry Limited (BlackBerry) dengan kerjasama Rogers Cybersecure Catalyst dari Toronto Metropolitan University untuk melatih 3,500 pertahanan siber dari Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN yang lain, kata BlackBerry.
Ia berkata, inisiatif ini memperkukuh kerjasama sektor awam-swasta global dalam perjuangan memerangi ancaman digital yang semakin meningkat, seiring dengan strategi Indo-Pasifik Kanada selain meletakkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan keselamatan siber serantau di Asia Tenggara.
"Sokongan daripada kerajaan Kanada akan merangkumi reka bentuk, pembangunan dan penyampaian kurikulum keselamatan siber yang komprehensif termasuk program khusus untuk wanita selain memperluas apa yang telah ditawarkan di CCOE bertaraf dunia di Cyberjaya.
"Kursus yang disokong ini akan merangkumi pendidikan berasaskan peranan dan laluan kepakaran serta Sijil Kepimpinan dalam Keselamatan Siber selain kursus Kepimpinan Wanita dalam Keselamatan Siber,” kata BlackBerry dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut BlackBerry, pembiayaan daripada Kanada juga akan menyokong biasiswa dan dermasiswa untuk rakyat Malaysia serta peserta serantau untuk mendaftar dalam kursus di CCOE selain memperoleh sijil industri yang diiktiraf di peringkat global dalam keselamatan siber.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, keselamatan siber adalah satu daripada tonggak dalam strategi Indo-Pasifik Kanada.
"Ini juga merupakan cabaran bersama yang perlu ditangani oleh negara-negara di seluruh dunia secara bersama-sama.
"Dengan pelaburan kerajaan kami di CCOE Malaysia melalui kerjasama dengan BlackBerry, Kanada akan berkongsi kepakaran siber, melatih tenaga kerja siber di seluruh ASEAN, meningkatkan kerjasama sektor awam-swasta serta mengukuhkan keupayaan kolektif untuk menangkis, menghalang dan memberi tindak balas terhadap ancaman siber," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John Giamatteo berkata;
"Dalam ekonomi digital yang semakin berkembang, tidak kira betapa canggihnya persenjataan keselamatan siber anda, setiap negara mesti memiliki tenaga kerja siber yang terlatih untuk memperkukuhkan barisan hadapan pertahanan mereka." - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!