3,967 kes rawatan transplan sel dilaksana di empat hospital KKM

Dr Dzulkefly (tengah) menyempurnakan gimik Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan SCT/BMT di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin. Foto Bernama
Dr Dzulkefly (tengah) menyempurnakan gimik Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan SCT/BMT di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 3,967 kes rawatan Transplan Sel/Sumsum Tulang (SCT/BMT) telah dilaksanakan di empat hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 25 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata, Hospital Ampang selaku peneraju utama telah mengendalikan 3,259 kes SCT/BMT dengan purata hampir 200 kes setiap tahun.

"Hospital Pulau Pinang telah mengendalikan 384 kes, manakala Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor (260 kes) dan Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah (64 kes),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan SCT/BMT KKM di Hospital Ampang di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, Hospital Umum Sarawak di Kuching dijangka memulakan perkhidmatan berkenaan pada Mac tahun hadapan sebagai hospital kelima yang menawarkan SCT/BMT, diikuti Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang yang akan dibangunkan sebagai pusat SCT/BMT.

"Hospital Umum Sarawak akan dimulakan selewatnya suku pertama tahun depan atau Mac 2025. Kita ada empat atau lima pakar di situ bersekali dengan jururawat yang mempunyai kepakaran latihan asas menyeluruh dalam hematologi,” katanya.

Dr Dzulkefly. Foto Bernama
Dr Dzulkefly. Foto Bernama

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya menganggarkan harga pasaran bagi rawatan itu kini mencecah RM120,000 ke RM300,000, namun KKM telah menetapkan kos rawatan perlu kekal rendah dengan jumlah RM20,000 hingga RM80,000.

Artikel Berkaitan:

"Pesakit biasa dikenakan caj RM500, manakala warga emas hanya RM250 bergantung kepada kompleks pesakit tersebut. Itu adalah komitmen kemampanan dan penjagaan kesihatan yang sama rata, supaya semua orang dapat capaian kepada prosedur SCT/BMT ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM juga akan meningkatkan bilangan Pakar Hematologi terlatih di seluruh Malaysia kepada 50 orang untuk tahun hadapan.

"Yang mampu membuat rawatan Transplan Sel ini lebih kurang 10 orang. Di Hospital Ampang sahaja kita ada empat pakar dan yang lain di Hospital Pulau Pinang serta Hospital Sultanah Aminah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!