Pegawai SPRM palsu: Polis tahan suspek kedua
KOTA BHARU - Polis menahan seorang penjawat awam dipercayai rakan kepada suspek yang menyamar sebagai Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Penahanan lelaki berusia 25 tahun itu dilakukan kira-kira jam 9 malam pada hari sama berhampian Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Pokok Sena, Kedah itu tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif dadah.
"Kita masih dalam siasatan lanjut untuk melihat keterlibatan kedua-dua suspek ini membabitkan jenayah lain berdasarkan penemuan video melalui telefon bimbit yang dirampas," katanya kepada pemberita pasa Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai pegawai SPRM dicekup Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di kawasan Pasar Tasek Raja pada Ahad.
Tangkapan terhadap Pegawai SPRM palsu itu dilakukan pada jam 11 pagi selepas menahan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dan merampas sepucuk pistol jenis Walther P88 lengkap bersarung serta berisi lapan butir peluru bersaiz sembilan milimeter (mm) dan seunit gari.
Mohd Yusoff memberitahu, setakat ini belum ada sebarang pengakuan mereka terlibat dengan jenayah dan polis sedang berusaha mengenal pasti jika ada kemungkinan itu.
"Siasatan awal polis juga mendapati suspek pertama mengaku memiliki barang-barang SPRM selama tiga tahun yang dibeli secara dalam talian," katanya.
Mohd Yusoff turut memaklumkan kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula yang berakhir 24 November ini.
Jelasnya, kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!