Demi jaga bekas suami sakit, Kiah Propa setuju nikah semula

Kiah Propa melamar semula bekas suaminya, Mohamad Nazri untuk hidup bersama kembali.
Kiah Propa melamar semula bekas suaminya, Mohamad Nazri untuk hidup bersama kembali.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MURNI sungguh hati pengacara dan pelakon, Kiah Propa apabila melamar semula bekas suaminya, Mohamad Nazri Ismail, 57, untuk hidup bersama kembali.

Kongsi Kiah atau nama sebenarnya Siti Rokhaida Abdul Khalil, 45, mereka sudah lapan tahun bercerai dan dalam dalam tempoh itu, lelaki tersebut tidak pernah berputus asa untuk memujuknya kembali bergelar suami isteri.

Bagaimanapun baru-baru ini, Nazri disahkan menghidap kanser dan Kiah memilih untuk berkahwin semula demi menjaga bekas suaminya itu.

"Lapan tahun bekas suami ajak saya bernikah semula, dia tidak berputus asa... ketika itu dia masih sihat dan saya tidak mahu kerana sudah selesa hidup seorang.

"Namun ternyata jodoh kami panjang. Kali ini dia sakit, saya terima dia. Insya-ALLAH sebab saya mahu menjaga dia dan bataskan aurat. Ini permintaan dia sebelum menutup mata katanya... doakan kami," ujar Kiah.

Tambah Kiah, selepas mendapat keputusan ujian kanser suaminya itu, dia berasa lemah longlai tetapi kagum melihat kekuatan yang ditunjukkan lelaki itu.

Dalam masa sama, pelakon yang terkenal dengan watak Mak Yang menerusi drama Jangan Menangis Cinta turut meminta pengikut media sosial mendoakan kanser suaminya itu tidak merebak.

"Saya lihat dia kuat, tetapi saya hati dia. Insya-ALLAH selagi ada umur, ada rezeki, ada kudrat, saya akan jaga dia sebab dia bapa kepada anak-anak saya.

Artikel Berkaitan:

"Doakan sel kanser tidak merebak lagi dan dia boleh jalani pembedahan secepat mungkin. Dalam masa sama, saya perlu berniaga untuk teruskan rawatan anak bongsu yang disahkan ada ketumbuhan ranula di bawah lidah.

"Banyak dugaan saya. Itulah di sebalik gelak ketawa, saya simpan jutaan kesedihan. Moga ALLAH SWT akan sentiasa ada bersama saya dan kalian doakan saya kuat untuk semua ini," jelasnya.

Dalam hantaran terkini di media sosialnya, Kiah berkongsi momen pernikahan semula dengan Nazri pada Sabtu lalu.

Apa yang menarik perhatian adalah aksi bersahaja Kiah duduk bersila ketika upacara pernikahannya.

"Sedap bersila. Tak salahkan? Cuma tidak cantik kedudukan kaki. Sekarang istiqamah menjadi isteri menjaga suami sakit kanser adalah fokus Cik Kiah sekarang," kongsinya menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Rata-rata pengikut media sosial termasuk rakan artis turut mengucapkan tahniah.

Sekadar info, Kiah dan Nazri berkahwin pada 2011 dan bercerai beberapa tahun kemudian. Hasil hidup bersama, mereka dikurniakan dua orang puteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!