77 PATI dihantar pulang, disenarai hitam
KUALA TERENGGANU - Seramai 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari empat negara dihantar pulang ke negara asal mereka pada Ahad.
Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, kesemua PATI berusia antara 19 tahun dan 32 tahun itu turut disenarai hitam untuk memasuki negara ini berdasarkan kesalahan dilakukan.
"Siri pemindahan kali ini melibatkan 77 orang tahanan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita warganegara China; 48 lelaki dan 23 wanita warganegara Indonesia; seorang wanita warganegara Thailand dan seorang lelaki serta seorang wanita warganegara Vietnam.
"Kesemua dihantar pulang ke negara asal selepas selesai menjalani proses undang-undang atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Operasi penghantaran pulang PATI ke negara asal dari Depot Imigresen Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) dilakukan selepas mereka selesai menjalani proses perundangan negara serta dokumentasi di kedutaan negara masing masing," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilaksanakan bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Ajil, Hulu Terengganu.
Beliau berkata, pihaknya akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selaras dengan dasar serta perundangan yang dikuatkuasakan.
"Kita juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung keberadaan warga asing yang disyaki menyalahi undang-undang serta peraturan imigresen untuk siasatan dan tindakan penguatkuasaan.
"Tindakan tegas akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!