Koronavirus: Pulau Pangkor masih terima kehadiran pelancong tinggi

Dalam tempoh dua bulan pertama ini, Pulau Pangkor menerima kehadiran ramai pelancong dari United Kingdom, Sweden, Perancis, Belanda dan juga Jepun. Gambar kecil: Munir
Dalam tempoh dua bulan pertama ini, Pulau Pangkor menerima kehadiran ramai pelancong dari United Kingdom, Sweden, Perancis, Belanda dan juga Jepun. Gambar kecil: Munir
A
A
A

IPOH - Kedatangan pelancong asing ke pusat peranginan Pulau Pangkor tidak banyak terjejas walaupun wujud kebimbangan terhadap penularan wabak koronavirus.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Munir Shaari berkata, sehingga kini kebanyakan hotel, resort dan chalet di pulau itu masih menerima tempahan tinggi khususnya pelancong dari negara-negara Eropah.

"Kebetulan musim sejuk melanda Eropah menyebabkan ramai rakyatnya melancong ke Malaysia.

"Di Pangkor, kehadiran pelancong masih tinggi dan pada musim cuti Tahun Baru Cina lalu, kebanyakan hotel dan resort menerima tempahan penuh termasuk daripada pelancong tempatan sendiri," katanya.

Semalam, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengesahkan sebanyak 95,000 tempahan hotel telah dibatalkan sehingga menyebabkan industri itu mengalami kerugian sebanyak RM40 juta sejak wabak koronavirus muncul.

Majoriti pembatalan tempahan itu adalah pelancong daripada China selepas pemerintah negara itu menghalang agensi pelancongan membawa rakyat mereka ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Munir berkata, pembatalan tempahan bilik hotel di Pangkor hanya melibatkan skala kecil.

Katanya, kehadiran pelancong ke pulau bebas cukai itu bukanlah majoritinya kalangan pelancong China.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh dua bulan pertama ini, kita menerima kehadiran ramai pelancong dari United Kingdom, Sweden, Perancis, Belanda dan juga Jepun.

"Rata-rata mereka menyatakan tidak bimbang kerana menyakini kecekapan Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan wabak dengan berkesan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Perak, Ron Low berkata, kira-kira 601 tempahan bilik hotel di negeri ini dibatalkan membabitkan kerugian RM66,200 sepanjang 22 hingga 29 Januari lalu.

Menurutnya, pembatalan berkenaan melibatkan pelancong dari negara berbeza, namun kebanyakannya disebabkan kebimbangan penularan wabak koronavirus.

"Tidak semua hotel menyumbang kepada rekod pembatalan ini, bagaimanapun saya pasti akan ada lebih banyak pembatalan dan penangguhan tempahan diterima susulan wabak ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Industri perhotelan negara rugi RM40 juta akibat koronavirus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!