'Nak urus kelab mudah, ada RM10 belanja RM7' - TMJ
PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan nasihat kepada pengurusan pasukan berbelanja mengikut kemampuan supaya tidak berdepan masalah pada masa akan datang.
Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, kebanyakan pasukan tidak bijak dalam berbelanja sekali gus berdepan masalah tunggakan gaji yang serius.
Menurut baginda, apabila keadaan itu berlaku, pihak pengurusan tidak mahu menyalahkan diri sendiri sebaliknya menyalahkan pihak lain dan menuduh bola sepak Malaysia gagal.
"Nak urus kelab mudah, ada RM10, belanja RM7. Perbaiki infra sikit, ada sasaran realistik. Ini tidak, semua janji menang piala nak jadi populis.
"Ada RM10, belanja RM15, lepas tu bila gagal bayar gaji, daripada pihak pengurusan hingga ke penyokong semua salahkan badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga MFL dan pasukan yang juara JDT.
"Semua orang salah kecuali diri sendiri. Bola sepak Malaysia tak gagal, anda yang gagal," kata baginda dalam Instastory miliknya.
Sebelum ini, Tunku Ismail dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers membidas pihak yang menyifatkan bola sepak Malaysia gagal susulan pelbagai isu melanda sukan itu.
Baginda berkata, bola sepak Malaysia tidak gagal sebaliknya diuruskan oleh individu yang tidak layak berada dalam industri bola sepak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!