Selangor bakal muktamad ratifikasi Akta 672, kurang kos urus sisa pepejal
SHAH ALAM - Selangor dijangka memuktamadkan ratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan pengurusan sisa pepejal bersama kerajaan Persekutuan melalui akta tersebut turut dijangka dapat mengurangkan kos ditanggung kerajaan negeri melalui anak syarikatnya.
Jelasnya, ketika ini kos operasi ditanggung anak syarikat kerajaan negeri iaitu KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memungut satu tan metrik sampah dianggarkan RM7 hingga RM8 berbanding nilai sebenar pada RM14 hingga RM15.
Menurutnya, KDEBWM menanggung kos tambahan RM7 yang menyebabkan syarikat itu mengalami kitaran kewangan agak ketat dan mengganggu pelaburan untuk pembelian lori baharu, peralatan lain dan sebagainya.
“Kedua, kalau kita lihat macam mana kita uruskan sisa kepada tenaga (WTE), sekali lagi akan menyentuh tentang tarif. Tarif ditetapkan oleh Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) sebelum ini adalah RM55.
"Kos RM55 itu adalah yang telah disubsidi oleh pihak kerajaan negeri. Kalau ikutkan, kadarnya mungkin lebih daripada RM70 hingga RM80.
“Jadi, dengan Akta 672, gap itu diisi dengan peruntukan Persekutuan dan kita sedia berbincang untuk tujuan itu, sebab itu kita rasa Akta 672 ada baiknya,” katanya pada Isnin.
Menteri Besar ditemui pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Terdahulu media melaporkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima nota hasrat daripada kerajaan Selangor bagi meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Menterinya, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, perbincangan bagi penerimaan Akta 672 itu oleh kerajaan Selangor sedang berjalan dan perkembangannya akan dimaklumkan.
Bagaimanapun, Menteri Besar menambah, peralihan untuk tujuan itu pasti berlaku kerana ia melibatkan bukan sahaja kerajaan negeri tetapi 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
"12 PBT ini pula ada ekosistem seperti pelantikan, pengurusan dan pemantauan, hendak (perlu) selaraskan dahulu perkara itu supaya kita akan dapat transisi yang lebih baik," ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin turut menjangkakan dengan menandatangani akta tersebut akan dapat menyelesaikan masalah kos serta kewujudan tapak pelupusan sampah haram di Selangor.
“Insya-Allah kalau semuanya berjalan dengan baik, antaranya apabila tarifnya rendah, bila kenakan tarif rendah, hasilnya agak kurang memberangsangkan kepada syarikat-syarikat kontraktor.
“Tetapi, kalau tarifnya agak tinggi, sebagaimana saya sebut nilai semasanya adalah RM14– RM15, jadi tidak ada orang mengambil langkah 'short-cut' untuk membuang di kawasan-kawasan haram.
"Kalau ada, sekarang pun kita ambil tindakan tetapi ia dijangkakan akan jauh lebih baik,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!