DUN Sabah: 'Dalam politik, kalau telinga nipis memang hari-hari kita 'up' status'
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Tindakan Datuk Rina Jainal (Harapan Rakyat-Kukusan) mengungkit pengorbanannya yang dilupakan ketika berada di dalam Parti Warisan (Warisan), menghangatkan suhu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok pembangkang mencelah menyatakan ia adalah sangkaan buruk daripadanya.
Dalam pembukaan perbahasannya, Rina berkata, beliau diberi peluang untuk menjadi calon DUN Kukusan dan walaupun dengan hanya menang tipis ketika itu, beliau juga terpaksa bersaing sengit dengan ahli politik 'otai' di Tawau.
"Dua tahun di blok pembangkang, saya akhirnya memilih memberi sokongan kepada kerajaan melihat kepada situasi semasa, tidak perlu bercerita tekanan dalaman, saya memohon maaf kerana mengecewakan pasukan saya dulu dan penyokong di sebelah sana.
"Saya faham, disebabkan sakit hati mereka panggil saya pengkhianat, katak dan sebagainya tanpa refleksi dari mana parti itu datang, bagaimana mereka boleh jadi kerajaan.
"Pengorbanan semasa menjadi penaja juga sudah dilupakan semuanya. Tidak apalah Datuk Speaker, dalam politik ini kalau telinga jadi nipis memang hari-hari kita 'up' status," katanya dalam sidang DUN Sabah pada Isnin.
Susulan kenyataannya itu menyebabkan Sarifuddin Hatta (Warisan-Merotai) bangkit untuk mencelah, namun Rina enggan memberi laluan kerana hanya mempunyai 12 minit untuk menyampaikan perbahasannya.
Sarifuddin kemudian terpaksa menggunakan buku peraturan tetap untuk diberi laluan meminta ADUN Kukusan menarik kenyataannya itu sebelum dibenarkan Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong Ke Wong.
"Sangkaan buruk, sangkaan jahat, bila Yang Berhormat Kukusan menyatakan bahawa sebagai penaja beliau tidak diberi macam-macam, sedangkan kita telah letakkan dia jadi calon dan dia menang dan hari ini dia berdiri di sini.
"Kita minta supaya menarik balik apa dikatakan itu bahawa beliau adalah seorang yang tidak 'dinampak', tarik balik perkataan itu saja," katanya.
Bagaimanapun, Rina enggan menarik balik kenyataannya.
Sarifuddin berkata, jika ADUN tersebut mahu membahas mengenai pembentangan bajet sepatutnya hanya menjurus kepada perkara itu.
"Kalau mahu bentang bajet, bentanglah bajet...Tak perlu hurai, orang pun tahu siapa katak, siapa pengkhianat, orang luar pun tahu tak perlu pun ulas.
"Jangan ulas dan tunjuk bahawa sayalah yang terbaik sebab melompat dan menjadi pengkhianat," katanya.
Kekecohan antara dua ADUN tersebut menyebabkan Richard terpaksa meminta mereka bertenang dan meminta Rina duduk sebelum meneruskan ucapan perbahasan beliau.
Rina dalam pada itu meminta ADUN pembangkang yang berdiri mencelah supaya memberi laluan kepadanya kerana ia adalah gilirannya untuk menyampaikan ucapan perbahasan belanjawan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!