Penumpang dilarang guna bagasi pintar di apron lapangan terbang - CAAM

Penggunaan bagasi pintar di apron (kawasan berpermukaan keras di terminal) boleh menimbulkan risiko keselamatan. Gambar hiasan
Penggunaan bagasi pintar di apron (kawasan berpermukaan keras di terminal) boleh menimbulkan risiko keselamatan. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan arahan keselamatan yang melarang penggunaan bagasi pintar atau 'skuter' sebagai mod pengangkutan dalam kawasan apron lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapt Norazman Mahmud dalam arahan keselamatan bertarikh 15 November berkata, walaupun bagasi pintar yang boleh ditunggang itu menawarkan kemudahan kepada penumpang namun penggunaannya seperti di apron boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Beliau berkata, kawasan itu terdapat jentera berat, pesawat, kenderaan perkhidmatan darat dan petugas sekali gus memerlukan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan untuk mengelakkan kemalangan dan kerosakan peralatan.

"Untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan lapangan terbang adalah penting untuk melarang sepenuhnya penggunaan bagasi pintar di kawasan larangan, menetapkan had laju di zon dibenarkan, dan mendidik penumpang dan petugas tentang amalan penggunaan yang selamat," katanya.

Sehubungan itu, Norazman berkata, penggunaan bagasi pintar itu tidak dibenarkan digunakan melebihi kawasan tertentu seperti ruang terminal dan zon menunggu selain papan tanda larangan perlu dipasang untuk memaklumkan para pengguna.

Beliau berkata, bagasi pintar yang dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya termasuk komponen bateri sebelum dibawa masuk ke kawasan apron.

Petugas di lapangan perlu dilatih mengenal pasti bagasi pintar yang boleh ditunggang dan melaksanakan protokol keselamatan untuk mengendalikannya termasuk melaporkan segera sebarang penggunaan di kawasan apron kepada pengendali lapangan terbang atau pekerja keselamatan.

"Selain itu, penyedia perkhidmatan pengendalian darat perlu memastikan semua petugas mengetahui prosedur yang betul untuk memuatkan, menyimpan dan mengangkut bagasi pintar, terutamanya jika ia mengandungi bateri litium atau komponen elektrik lain yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang juga dinasihatkan untuk memaklumkan memasukkan arahan keselamatan itu menerusi pengumuman prapenerbangan termasuk pada tiket. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!