UMNO, UMNO Selangor sedang berunding cari penyelesaian kes saman

UMNO dan UMNO Selangor sedang dalam proses rundingan penyelesaian dengan SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya berhubung dakwaan menerima RM19.5 juta daripada syarikat-syarikat itu pada 2015.
UMNO dan UMNO Selangor sedang dalam proses rundingan penyelesaian dengan SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya berhubung dakwaan menerima RM19.5 juta daripada syarikat-syarikat itu pada 2015.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa UMNO dan UMNO Selangor sedang dalam proses rundingan penyelesaian dengan SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya berhubung dakwaan menerima RM19.5 juta daripada syarikat-syarikat itu pada 2015.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO meminta penangguhan dua hari kerana parti itu sedang dalam proses rundingan penyelesaian dengan plaintif (SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd).

Permintaan itu disokong oleh peguam UMNO Selangor, Datuk Hasnal Rezua Merican, dan ia tidak dibantah oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili plaintif.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, yang membenarkan permohonan itu kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini, namun menetapkan bahawa prosiding akan diteruskan pada hari Rabu jika tiada penyelesaian konkrit daripada pihak-pihak berkenaan.

"Kita telah tetapkan kes ini lebih dua tahun lepas, dan percubaan mutakhir untuk penyelesaian ini muncul agak lewat, tetapi setelah memahami pendirian oleh pihak-pihak, saya boleh membenarkan permintaan ini.

"Saya perlu tahu pendirian semua pihak pada hari Rabu, dan mesti ada penyelesaian konkrit sebelum saya boleh buat keputusan, jika tidak kita perlu meneruskan perbicaraan pada hari Rabu," katanya.

Plaintif memfailkan dua saman itu pada Mei 2021, dengan yang pertama ialah mendapatkan semula RM16 juta yang dikatakan dipindahkan kepada UMNO.

Ketiga-tiga mereka (plaintif) mendakwa bahawa UMNO tahu, atau sepatutnya tahu, bahawa wang itu adalah milik SRC, dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.

Artikel Berkaitan:

Saman kedua merujuk kepada usaha mendapatkan semula RM3.5 juta daripada UMNO Selangor, jumlah yang mereka dakwa telah diterima secara salah oleh parti itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!