RMK13 beri penekanan pembentukan bakat untuk sektor ekonomi berpendapatan tinggi
KANGAR - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberikan penekanan terhadap aspek reformasi pembentukan bakat dalam negara ini untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi berpendapatan tinggi pada masa hadapan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju seawal tahun 2027 atau 2028, maka ia perlu seiring dengan penyediaan bakat yang berpengetahuan tinggi serta bersesuaian dengan aktiviti ekonomi berpendapatan tinggi itu.
"Saya percaya bahawa potensi Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi serantau tidak diragui lagi, terutamanya dalam kalangan pelabur, sebab itu kita selalu tengok prestasi pelaburan baharu yang masuk ke Malaysia ini memang membanggakan.
"Cuma cabaran kita, pelabur ini masuk untuk membantu memacu ekonomi negara, mereka memerlukan bakat yang padan dengan tahap teknologi mereka. Jadi kita memang mengutamakan pelaburan yang bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, tetapi mereka sebagai timbal baliknya memerlukan kita menyediakan bakat yang berupaya menyertai sektor tersebut,” katanya.
Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus RMK13 bersama pihak kerajaan negeri Perlis di Dewan 2020, Persiaran Wawasan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, usaha menyediakan bakat untuk sektor ekonomi berpendapatan tinggi antara cabaran dihadapi kerajaan dan ia perlu dinilai dari segi kemampun sistem pendidikan dan hala tuju institusi pendidikan negara yang menjadi asas utama bagi membina ekonomi yang hendak dicapai dalam RMK13 itu nanti.
Beliau berkata, untuk tempoh jangka panjang, kementeriannya sedang berusaha memastikan ekonomi negara ini dinaik taraf daripada 'made in Malaysia’ kepada 'made by Malaysia’ yang dapat menghasilkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada bakat negara ini tanpa perlu mereka bekerja di luar negara.
"Kami di Kementerian Ekonomi selalu sebut - kita nak ubah Malaysia ini daripada dikenali sebagai 'made in Malaysia' kepada 'made by Malaysia'. ’Made in Malaysia' kita pasang di kilang, jadi bila kilang pasang - gajinya rendah.
"Kalau 'made by Malaysia' - kita design sendiri, jadi dari segi rancangan semua memang ia ke arah itu, cuma sudah tentu nak berubah daripada kemahiran memasang kepada kemahiran mereka cipta, ia memerlukan kemahiran berbeza,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!