Elak pilih kasih terhadap anak-anak, boleh jatuh haram dan berdosa

IBU bapa dilarang untuk membeza-bezakan setiap anak tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. -Foto: CANVA
IBU bapa dilarang untuk membeza-bezakan setiap anak tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. -Foto: CANVA
A
A
A

ANAK kedua berbuat salah, tetapi anak sulung pula yang menerima kesannya hinggakan menjadi mangsa ledakan kemarahan ibu bapanya.

Demikian antara sikap pilih kasih orang tua terhadap anak-anak masing-masing yang masih berlaku dalam kalangan segelintir masyarakat kita.

Itu belum lagi dalam bab pemberian hadiah, perhatian dan sebagainya yang adakalanya nampak tidak adil jika ibu bapa mengamalkan sikap pilih kasih sebegitu.

Kepada emak dan ayah yang bersikap sedemikian, segeralah buang jauh-jauh.

Ini kerana pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi infografik yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini menjelaskan, sikap melebihkan sebahagian anak dalam soal pemberian hingga memudaratkan anak lain boleh jatuh hukum haram dan berdosa.

USTAZ AZHAR
USTAZ AZHAR

Maka sebab itulah jelas beliau, ibu bapa disunatkan untuk menyamakan dalam bab pemberian kepada anak masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Ia selari dengan himpunan fatwa Universiti Al-Azhar yang menyatakan: “Fuqaha telah sepakat bahawa seseorang dituntut menyamakan pemberian antara anak-anaknya tanpa pilih kasih atau melebihkan kecuali ada sebab yang mengharuskannya.

“Menyamakan pemberian antara anak-anak itu adalah disunatkan.

“Telah berkata jumhur fuqaha dari Mazhab Hanafi dan yang masyhur dalam Mazhab Maliki serta muktamad di sisi Mazhab Syafie, jika dilebihkan salah seorang daripada anaknya kerana mahu memudaratkan anak-anak yang lain, maka dia telah berdosa dan perbuatannya itu haram kerana sesungguhnya dia berniat melakukan zalim dan kemudaratan,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, ibu bapa dilarang untuk membeza-bezakan setiap anak tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan.

ANTARA hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa adalah untuk mendapatkan kasih sayang, belas kasihan dan sifat keihsanan. -Foto: CANVA
ANTARA hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa adalah untuk mendapatkan kasih sayang, belas kasihan dan sifat keihsanan. -Foto: CANVA

Ini kerana agama Islam memandang bahawa semua manusia di sisi Tuhannya adalah sama darjatnya, hanya dibezakan oleh nilai ketakwaan dan keimanan.

"Anak-anak merupakan pemberian hadiah dan rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada pasangan suami isteri.

“Keharusan untuk memenuhi hak anak-anak pada perkara-perkara yang telah disyariatkan merupakan satu keperluan yang perlu disempurnakan mengikut kadar kemampuan ibu bapa.

"Keadilan dan kesamarataan adalah suatu perkara yang dititikberatkan dalam Islam bagi memastikan kesejahteraan dalam keluarga," katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-782: Ibu bapa bersifat pilih kasih terhadap anak-anak yang disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Bukan itu sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, terdapat satu bab khusus berkaitan pemberian hadiah oleh ibu bapa kepada anak-anak.

Secara umumnya, orang tua diharuskan memberi hadiah atau sedekah kepada permata hati mereka selagi mana ia diberikan secara adil dan sama rata antara setiap mereka.

"Namun begitu, timbul permasalahan hukum apabila ibu bapa memberi hadiah pada sebahagian anak sahaja sehingga membiarkan sebahagian yang lain. Perkara itu dilarang sama sekali," tulis artikel tersebut.

SETIAP ibu bapa perlu berlaku adil kepada anak-anaknya dalam pemberian hadiah dan tidak melebihkan sebahagiannya atau sebahagian yang lain. -Foto: CANVA
SETIAP ibu bapa perlu berlaku adil kepada anak-anaknya dalam pemberian hadiah dan tidak melebihkan sebahagiannya atau sebahagian yang lain. -Foto: CANVA

Ia sebagaimana dilihat dalam hadis riwayat Amir bahawa beliau berkata:

Maksudnya: “Aku mendengar Nu'man bin Basyir ketika berada di mimbar berkata: "Ayahku memberi aku hadiah tetapi Amrah binti Rawahah (ibuku) mengatakan bahawa dia tidak akan meredainya melainkan dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai saksi kepadanya. Kemudian, ayahku datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: “Aku telah memberikan hadiah kepada anakku daripada Amrah binti Rawahah, tetapi dia memerintahkan aku untuk menjadikan kamu sebagai saksi. Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu telah memberikan hadiah seumpama ini kepada semua anak-anakmu?” Beliau menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Bertakwalah kamu kepada ALLAH SWT dan berlaku adillah kepada anak-anakmu”. Ayahku kemudiannya pulang dan mengambil semula hadiahnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam satu riwayat yang lain, Nabi Muhammad SAW menolak permintaan bapa Nu’man bin Basyir untuk dijadikan saksi.

Melihat nas itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian menukilkan pandangan Imam An-Nawawi dalam hal tersebut.

Kata Imam An-Nawawi, setiap ibu bapa perlu berlaku adil kepada anak-anaknya dalam pemberian hadiah dan tidak melebihkan sebahagiannya atau sebahagian yang lain.

“Andai ibu bapa tidak bersikap sama rata, maka hukum perbuatan itu adalah makruh meskipun hadiah diberikan adalah sah menurut syarak.

“Demikian pandangan yang dipegang oleh Imam Asy-Syafie, Imam Malik dan sebahagian ulama fiqh.

“Sheikh Zakaria Al-Ansari menyatakan, dalil yang menunjukkan bahawa pemberian hadiah itu adalah sah merujuk kepada sabda Nabi Muhammad SAW yang mengarahkan bapa Nu’man bin Basyir untuk mencari orang lain untuk dijadikan saksi selain Baginda,” katanya.

TUNTUTAN agama untuk berlaku adil kepada anak-anak tidaklah semata-mata terhad kepada pemberian sesuatu yang bersifat material atau kebendaan, tetapi ia lebih meluas dengan mengambil kira sudut emosi anak-anak dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang. -Foto: CANVA
TUNTUTAN agama untuk berlaku adil kepada anak-anak tidaklah semata-mata terhad kepada pemberian sesuatu yang bersifat material atau kebendaan, tetapi ia lebih meluas dengan mengambil kira sudut emosi anak-anak dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang. -Foto: CANVA

Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud pemberian atau hadiah itu perlu sama.

Pejabat mufti itu kemudian menjelaskan bahawa konsep keadilan dan kesamarataan dalam Islam bermaksud, tindakan meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempat, waktu dan kadarnya tanpa dilebihkan atau dikurangkan, juga tidak dilewatkan atau diawalkan.

Ini bermakna, pemberian hadiah kepada anak-anak tidak disyaratkan untuk sama, malah mungkin berbeza mengikut umur dan jantina.

“Hadiah untuk anak lebih berusia tidak sama dengan anak yang masih kecil.

“Begitu juga dengan hadiah kepada anak perempuan tidak sama dengan anak lelaki,” katanya.

Seperkara lagi, pejabat mufti itu menjelaskan, antara hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa adalah untuk mendapatkan kasih sayang, belas kasihan dan sifat keihsanan.

“Perasaan itu dapat dizahirkan menerusi tindakan ibu bapa seperti bercakap dengan kata-kata yang baik, menunjukkan sifat kelembutan dan kebaikan serta memberikan kegembiraan kepada mereka.

“Mengertilah, tuntutan agama untuk berlaku adil kepada anak-anak tidaklah semata-mata terhad kepada pemberian sesuatu yang bersifat material atau kebendaan, tetapi ia lebih meluas dengan mengambil kira sudut emosi anak-anak dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang,” katanya.

Sekiranya kesempurnaan pada anak-anak menjadi kayu ukur kepada nilai keadilan dan kasih sayang, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan itu hanya akan menyebabkan kebencian dan perbalahan di antara keluarga serta adik-beradik.

“Sebahagian ahli ilmu berkata bahawa pada hari kiamat kelak, ALLAH SWT akan mempersoalkan ibu bapa tentang apa yang diperlakukan kepada anak-anaknya di dunia,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!