Undang-undang buruh Malaysia tidak terpakai di negara asing

Mohamad Alamin. Foto Bernama
Mohamad Alamin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara adalah tertakluk dan dilindungi di bawah undang-undang buruh serta undang-undang hak asasi manusia termasuk pemerdagangan orang di negara berkenaan, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pemakaian undang-undang buruh Malaysia mahupun mana-mana undang-undang di negara ini tidak terpakai di negara asing.

"Sungguhpun begitu, Kerajaan Madani melalui Kementerian Luar dan Perwakilan Diplomatik Malaysia sentiasa bersedia memberikan bantuan konsular yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang ditimpa masalah atau kesulitan ketika berada di luar negara.

"Kami juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya memegang dokumen perjalanan seperti pasport dan visa yang sah serta tidak menyerahkan dokumen tersebut kepada mana-mana pihak dengan begitu mudah,” katanya pada sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab usul yang dikemukakan Wong Chen (PH-Subang) mengenai langkah perlindungan mangsa pemerdagangan orang melibatkan rakyat Malaysia di luar negara.

Wong Chen dalam usulnya membangkitkan mengenai isu rakyat Malaysia, Mala Vello, 57, yang dikatakan menjadi mangsa pemerdagangan orang di Nepal dan pasportnya dirampas sejak 2012 setelah berkahwin dengan lelaki warganegara berkenaan.

Mala kemudiannya berjaya dibawa balik ke negara ini pada Ogos lepas.

Merujuk kes Mala, Mohamad berkata, tanggungjawab bagi mengenal pasti sama ada seseorang itu mangsa pemerdagangan orang atau tidak tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan dan tafsiran yang diperuntukkan dalam undang-undang di Nepal.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ini bermakna pihak berkuasa di Nepal yang akan menentukan sama ada sesuatu kes itu merupakan jenayah pemerdagangan manusia ataupun tidak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang berkenaan di Nepal dan bukannya berdasarkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!