Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir tahniah kepada Siti Nurhaliza
SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang menerima Anugerah Biduan Negara 2024.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga turut menzahirkan harapan agar gelaran yang diterima anak jati Kuala Lipis, negeri ini dapat menyuntik semangat beliau untuk terus melakar lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang.
"Baginda berdua juga berharap pencapaian yang diperolehnya mampu menjadi dorongan untuk individu lain mencapai kejayaan maksimum dengan usaha yang bersungguh-sungguh,” menurut catatan di Facebook Kesultanan Pahang.
Kejayaan Siti Nurhaliza dinobatkan Biduanita Negara semasa Majlis Anugerah Seni Negara pada 13 Nov lepas, meletakkannya selaku penerima ketiga anugerah berprestij tersebut selepas penerima pertama Allahyarham Puan Sri Saloma pada 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.
Mula menceburi industri seni pada 1995, Siti Nurhaliza sepanjang penglibatannya telah memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara, antaranya, 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat) selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali.
Selain itu beliau juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut di samping pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!