Sedia ruang kerjaya lebih baik, KPISM sokong cadangan KSN

Foto hiasan. (Gambar kecil: Ajeet Singh)
Foto hiasan. (Gambar kecil: Ajeet Singh)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyokong usaha kerajaan untuk menyediakan ruang kerjaya lebih baik kepada kakitangan jabatan itu.

Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh berkata, pihak kesatuan menyambut baik usaha Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung perkara itu kerana ia selari dengan agenda reformasi perkhidmatan awam.

"KPISM menzahirkan rasa terima kasih di atas hasrat Tan Sri KSN untuk menyediakan ruang kerjaya lebih baik kepada pihak jabatan.

"Kami percaya bahawa usaha tersebut akan menaikkan lagi semangat kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk berkerja dengan lebih baik bagi menyampaikan perkhidmatan kepada orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ajeet Singh berkata, mengambil contoh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menekankan aspek kemajuan kerjaya pegawai-pegawainya dengan membuka pelbagai peluang kenaikan pangkat.

Jelas beliau, suruhanjaya itu melaksanakannya melalui mekanisme tertentu bermula daripada pangkat rendah sehingga dapat menjawat jawatan yang lebih tinggi.

"Kami di KPISM juga yakin dan percaya bahawa Tan Sri KSN akan menggunakan kaedah-kaedah terbaik untuk merealisasikan hasrat tersebut," ujarnya.

Sebelum ini, Shamsul Azri mengumumkan kenaikan pangkat Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dibuat dengan berdasarkan kepada merit yang mana tiga komponen akan diambil kira.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, tiga komponen ditetapkan itu adalah mesti mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi, berpengalaman serta mampu untuk menggalas tanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!