40 mahasiswa UIAM sertai dakwah jalanan anjuran BEDSA

SEBAHAGIAN peserta bergambar ketika program dakwah jalanan anjuran BEDSA di Bukit Bintang baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta bergambar ketika program dakwah jalanan anjuran BEDSA di Bukit Bintang baru-baru ini.
A
A
A

BAGI melatih dai muda melaksanakan tanggungjawab untuk berdakwah kepada non-Muslim, Persatuan Pelajar Kulliyyah Pendidikan (BEDSA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan dakwah jalanan baru-baru ini.

Pensyarah Kulliyyah Pendidikan UIAM, Ustaz Mohammad Baihaqi Md Yusnan berkata, program Street Dakwah: Kindling the light of faith on the street selama dua hari itu menekankan aspek teori serta praktikal di lapangan kepada kira-kira 40 peserta.

“Bercakap tentang dakwah, ia bukan hanya mencakupi dakwah kepada sesama Muslim, namun skopnya sudah tentu lebih luas merentasi sempadan agama atau dakwah kepada non-Muslim.

“Dakwah kepada non-Muslim dilihat sepi dan tidak dilalui atau dilaksanakan kebanyakan orang kerana tidak ramai yang berkemampuan serta menguasai selok-belok dakwah seperti ini,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

SEBELUM turun ke lapangan, para peserta diberi pengetahuan mengenai teori dakwah jalanan oleh MRM.
SEBELUM turun ke lapangan, para peserta diberi pengetahuan mengenai teori dakwah jalanan oleh MRM.

Menurut beliau, program bermula dengan pengenalan kepada street dakwah dan diteruskan dengan slot Do’s and Don’ts yang memfokuskan kepada apa yang diperlukan seseorang pendakwah ketika sedang melakukan dakwah dan apa yang perlu dielakkan.

“Pengetahuan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ini sangat penting buat para peserta bagi melancarkan proses dakwah kepada non-Muslim sekali gus mengelakkan apa-apa konflik, keganasan dan perkara yang tidak diingini ketika dakwah berlangsung.

Artikel Berkaitan:

MAHASISWA UIAM yang mendekati orang ramai dan berdakwah kepada mereka.
MAHASISWA UIAM yang mendekati orang ramai dan berdakwah kepada mereka.

“Slot ketiga bertajuk Types of prospect pula memfokuskan kaedah seorang dai dalam mendekati prospek yang mempunyai latar belakang berbeza serta gelagat yang mungkin ditemui ketika dakwah jalanan berlangsung.

“Sesi terakhir hari pertama peserta dilengkapkan dengan ilmu berkaitan elemen yang diperlukan dalam diri seorang pendakwah, antaranya senyuman yang manis, kemesraan, perbualan lancar dan sebagainya yang boleh membantu ketika berdakwah,” hurainya.

Tambahnya lagi, hari kedua diteruskan dengan persiapan sebelum turun ke Bukit Bintang bagi melakukan street dakwah secara praktikal.

“Kali ini program disertai kira-kira 40 peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana program, ditambah dengan 2 orang pelajar warga asing yang berminat untuk turut serta.

“Secara keseluruhan, program ini berjaya memenuhi objektif yang telah ditetapkan dan para peserta dilihat sangat seronok serta bersemangat untuk melakukan acara street dakwah secara praktikal setelah dilatih dengan teori-teori yang berkaitan,” katanya.

Ujarnya, program sebegini sangat bagus dilaksanakan kerana ia memberi nilai tambah kepada para pelajar.

“Mereka bukan sahaja akan menguasai bidang pengajian masing-masing setelah tamat tempoh pembelajaran, tetapi mereka juga boleh menggalas tanggungjawab fardu kifayah iaitu menyampaikan dakwah dan mesej Islam kepada saudara-saudara kita yang belum lagi Muslim.

DAKWAH tidak hanya kepada sesama Muslim, malah lebih luas apabila turut melibatkan non-Muslim.
DAKWAH tidak hanya kepada sesama Muslim, malah lebih luas apabila turut melibatkan non-Muslim.

“Semoga program ini menjadi permulaan kepada siri program bertemakan dakwah yang lebih banyak dan bervariasi pada masa akan datang selari dengan kecenderungan masyarakat yang lebih dekat dengan dakwah sebegini,” katanya.

Program Street Dakwah tersebut mendapat kerjasama Council of Islamic Education Students (CIES), TESL Students’ Society (TESS), Council of Young Arabic Teachers (CYAT), Council of Counseling Students (CCS) dan Che’gu TV Production: Batch 06 (CGTV06) bersama Multiracial Reverted Muslims (MRM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!