Maut ketika tukar tayar kereta pancit
SHAH ALAM - Tindakan seorang lelaki warga emas ingin menukar tayar keretanya yang pancit berakhir tragedi apabila dilanggar sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 5.5 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa merupakan lelaki tempatan berumur 65 tahun sedang membuka but keretanya untuk mengambil tayar simpanan.
"Ketika kejadian sebuah bas yang dipandu di lorong kiri dipercayai gagal mengelak sebuah pacuan empat roda dan kereta jenis Toyota Camry milik mangsa.
"Bas berkenaan kemudiannya melanggar pacuan empat roda berkenaan sebelum kenderaan itu merempuh mangsa serta kereta miliknya itu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, siasatan mendapati kenderaan pacuan terbabit berhenti di belakang kereta mangsa kerana ingin membantu mangsa.
"Kejadian mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan maut di tempat kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
"Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!