SAR Nur Arina tertumpu di Sungai Rui - Bomba

Pasukan bomba menjalankan operasi dengan memfokuskan pencarian di kawasan kayu dan pokok tumbang di Sungai Air Beruk di Gerik.
Pasukan bomba menjalankan operasi dengan memfokuskan pencarian di kawasan kayu dan pokok tumbang di Sungai Air Beruk di Gerik.
A
A
A

GERIK - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita yang hilang dihanyutkan arus deras di Sungai Air Beruk, Jalan Kampung Stang, Kampung Kerunai di sini tidak menemukan sebarang petunjuk setakat ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, radius pencarian diperluaskan sehingga 16 kilometer (km) meliputi Sungai Air Beruk dan Sungai Rui.

Sabarodzi
Sabarodzi

Menurut beliau, sebanyak enam bot dan 12 kayak milik agensi lain telah digunakan dalam kaedah pencarian permukaan dan 'skin dive'.

"Radius pencarian pada hari kedua diperluaskan sehingga 16km. Berdasarkan arus air semalam dan hari ini, kita percaya mangsa telah memasuki Sungai Rui.

"Pasukan menjalankan kerja-kerja mencari dengan menyusuri kedua-dua sungai tersebut serta memfokuskan kawasan kayu-kayu dan pokok tumbang yang menjadi antara lokasi mangsa mungkin tersangkut," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Padang Stang di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kekuatan anggota bomba akan dipertingkatkan pada hari ketiga operasi SAR dengan memfokuskan sepenuhnya pencarian di Sungai Rui.

Artikel Berkaitan:

Pasukan penyelamat menggunakan kayak menyusuri Sungai Air Beruk dan Sungai Rui dalam operasi SAR di Gerik.
Pasukan penyelamat menggunakan kayak menyusuri Sungai Air Beruk dan Sungai Rui dalam operasi SAR di Gerik.

"Antara kesukaran yang dihadapi pasukan adalah keadaan arusnya yang deras di Sungai Air Beruk manakala keadaan air di Sungai Rui adalah keruh menjadikan pencarian dari aspek visual agak terhad.

"Risiko lain yang dihadapi adalah air berpusar yang sukar untuk kita akses. Kita juga menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dalam operasi ini selain akan memperhalusi pencarian dengan kaedah lain," katanya.

Sabarodzi berkata, operasi ditangguhkan sekitar jam 6.30 petang dan akan diteruskan semula pada jam 8 pagi pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang Ahad, Nur Arina Azizan, 20, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika beriadah bersama ibu dan adik perempuan serta dua sepupunya.

Sabarodzi (kanan) melihat perkembangan operasi SAR wanita dihanyutkan arus deras di Gerik.
Sabarodzi (kanan) melihat perkembangan operasi SAR wanita dihanyutkan arus deras di Gerik.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan tiga ahli keluarga lain menyusuri sungai dengan ibunya berusia 48 tahun berpaut pada pelampung sebelum pelampung yang digunakan mangsa terpisah daripada ahli keluarga lain.

Tindakan mangsa yang turun dari pelampung telah menyebabkan dia dihanyutkan arus deras dan ibunya yang melihat kejadian itu cuba membantu sebelum turut dibawa arus namun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!