Anak maut, ibu bapa cedera motosikal dirempuh kereta
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala ibu bapanya cedera selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta di Bukit Jalil di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.50 malam.
Katanya, dalam kejadian tersebut, penunggang motosikal dan pembonceng bersama anak telah terjatuh di atas jalan.
“Ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam.
"Salah seorang mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun telah meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 31 tahun telah tampil ke Balai Trafik Kuala Lumpur, pada Isnin.
Katanya, pemandu itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum itu, tular satu rakaman video kamera papan pemuka sebuah kenderaan berdurasi 29 saat di media sosial Facebook.
Berdasarkan rakaman video terbabit, sebuah kereta yang dipandu telah melanggar motosikal dari arah belakang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!