Piala ASEAN: Singapura perlu buat lebih banyak kerja rumah
PENGENDALI Singapura, Tsutomu Ogura perlu melakukan lebih banyak kerja rumah menjelang Piala ASEAN bulan depan, berdasarkan kekalahan 2-3 kepada Taiwan pada Isnin.
Di Stadium Nasional, jaringan Christopher Tiao dan Miguel Sandberg memberi pendahuluan kepada pasukan lawan sebelum tuan rumah membalas satu gol menerusi Irfan Najeeb.
Namun tandukan Ange Kouame mengesahkan kemenangan buat anak buah Gary White, biarpun gol lewat permainan dijelmakan pemain gantian Singapura, Shawal Anuar merapatkan kedudukan kepada 2-3.
Taiwan yang berada di kedudukan ke-168 dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), enam tempat di bawah Lions.
Sebagai rekod, kali terakhir Singapura menentang Taiwan adalah dalam perlawanan persahabatan tahun lalu dengan kemenangan 3-1.
Aksi di laman sendiri ini juga merupakan perlawanan pemanas badan terakhir pasukan itu menjelang kempen Piala ASEAN, yang akan bermula dengan menentang Kemboja pada 11 Disember.
Pada Khamis, Singapura menewaskan Myanmar 3-2 dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Stadium Nasional.
Ogura, bekas penolong pengendali pasukan Jepun kelahiran, Osaka berusia 58 tahun diumumkan pengendali Singapura yang baharu pada Februari lalu.
Pemain berusia 58 tahun itu mengetuai Lions untuk seri 2-2 di tempat sendiri menentang China dalam perlawanan pertamanya, dengan Singapura bangkit daripada ketinggalan dua gol.
Sementara dalam kempen Kelayakan Asia/Piala Dunia, Singapura tewas 1-4 kepada China, 0-7 kepada Korea Selatan dan 1-3 kepada Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!