MTL: Orang Asli mohon henti aktiviti sukan kenderaan lasak di laluan utama
GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini memohon supaya semua aktiviti sukan lasak melibatkan kenderaan pacuan empat roda tidak menggunakan laluan utama perkampungan mereka ketika Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Balar, Hanan Anjang berkata, ketika ini laluan ke Pos Balar mengalami banyak kerosakan seperti berlubang dan berlumpur akibat hujan.
Beliau berkata, aktiviti sukan kenderaan lasak atau mendaki gunung tidak sesuai diadakan ketika musim hujan kerana faktor keselamatan serta memburukkan lagi keadaan jalan perhubungan di kawasan perkampungan Orang Asli.
"Penduduk di beberapa pos seperti Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim serta Pos Simpor dan Pos Gob membantah aktiviti yang merosakkan permukaan tanah dilakukan di kawasan tempat tinggal mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Balar di sini pada Isnin.
Sementara itu, penduduk Ahmadi Jalil Baiyor, 42, berkata, jalan utama yang bertanah merah itu akan bertukar menjadi lumpur tebal jika dilalui banyak kenderaan dalam satu masa yang sama.
"Apabila hujan tanah menjadi lembut dan mudah rosak kerana dilalui dengan tayar kenderaan lasak yang lebih besar daripada tayar kenderaan biasa. Oleh itu, hentikanlah sebarang sukan kenderaan lasak di kawasan kami,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!