Kualiti graduan TVET jadi persoalan
SHAH ALAM - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia memerlukan peningkatan dari segi kualiti bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang pesat terutamanya dalam teknologi revolusi industri (IR) 4.0 dan 5.0.
Pakar TVET dari Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohamad Sattar Rasul berkata, meskipun institusi TVET dilihat telah mencukupi dari segi kuantiti di negara ini, namun kualiti pelajar yang menamatkan pengajian di institusi tersebut masih menjadi persoalan besar.
Menurutnya, graduan TVET perlu memiliki kemahiran teknologi yang tinggi, namun kajian menunjukkan bahawa pelajar TVET tidak didedahkan sepenuhnya kepada kemahiran digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).
“Industri telah memasuki era IR 4.0 dan 5.0 yang memerlukan teknologi tinggi seperti AI dan percetakan 3D. Namun, institusi TVET kita belum selari dengan perubahan teknologi ini.
“Banyak institusi TVET masih melaksanakan program secara konvensional, mungkin disebabkan masalah infrastruktur atau kekurangan kepakaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas satu daripada Resolusi Meja Bulat iaitu meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran TVET kerana pada masa ini ia dilihat masih tidak mencukupi.
Mohamad Sattar mencadangkan agar institusi TVET di Malaysia mencontohi model yang dilaksanakan di negara luar seperti China dan Korea Selatan, yang mana terdapat kerjasama erat antara institusi dan industri.
“Kerjasama ini melibatkan perkongsian kepakaran dan fasiliti industri dengan institusi yang akan meningkatkan kualiti pelajar dan pensyarah,” ujarnya.
Mohamad Sattar turut menekankan bahawa tenaga pengajar TVET perlu berpengalaman dalam industri dan terdedah kepada teknologi tinggi.
Menurutnya, kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan kualiti sistem pendidikan TVET dengan memastikan kerjasama erat antara institusi dan industri serta memastikan tenaga pengajar berkemahiran tinggi.
“Di Malaysia, tenaga pengajar TVET masih direkrut daripada lulusan universiti yang baru tamat pengajian, sedangkan di United Kingdom dan beberapa negara lain, tenaga pengajar mesti mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya.
Tambah beliau, infrastruktur institusi TVET di Malaysia masih tidak selari dengan keperluan teknologi semasa.
“Banyak fasiliti dan mesin yang digunakan sudah lama dan rosak, serta tidak mencukupi untuk pembelajaran praktikal. Hal ini menyebabkan kemahiran pelajar tidak dapat dibina dengan baik,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!