Terjebak cari jodoh dalam sesi 'live' TikTok
SHAH ALAM - Aplikasi TikTok kebelakangan ini semakin meriah apabila ramai pengguna platform berkenaan mencari jodoh menerusi sesi penstriman langsung yang diadakan hampir setiap malam.
Antara sesi 'live' ruang cari jodoh paling diminati ramai dihoskan oleh seorang pemuda yang hanya dikenali dengan nama Zack Azroy bahkan pernah mencapai puluhan ribu tontonan semasa.
Usaha pemuda berkenaan mendapat perhatian warga maya apabila ramai yang menonton memberikan 'hadiah' dan 'tanda suka' sebagai tanda sokongan.
Majoritinya terhibur dengan gelagat santai pengguna-pengguna TikTok yang mahu mencari cinta menerusi sesi tersebut sebelum memutuskan sama ada ingin berakhir ke jinjang pelamin atau sebaliknya.
Lebih kelakar, ada yang ditolak mentah-mentah secara 'live' di hadapan ribuan penonton sekiranya tidak menepati kriteria suami atau isteri idaman, tetapi ada juga berhasil.
Bukan itu sahaja, difahamkan sesi terbabit yang bermula sejak tahun lalu turut menjadi ruang buat pengguna media sosial dalam negara untuk berkenalan dengan rakyat luar, bergantung kepada keinginan masing-masing.
Mana tidaknya, usaha untuk menyatukan dua hati perlu melalui sesi taaruf terlebih dahulu agar masing-masing setuju bergerak ke fasa seterusnya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan platform sedemikian berjaya menemukan pasangan yang serius mahu menjalani bahtera perkahwinan hasil suai kenal di TikTok.
Sinar Harian sedang cuba mendapatkan Zack Azroy untuk bertanyakan lebih lanjut tentang usaha mempertemukan dua jiwa dan pahit manis pengalamannya sebagai 'orang tengah' sepanjang sesi penstriman berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!