Realme GT 7 Pro lengkap cip Snapdragon 8 Elite pertama di Malaysia
KUALA LUMPUR - Jenama telefon pintar yang semakin berkembang pesat, realme memperkenalkan secara rasmi realme GT 7 Pro yang dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite pertama di Malaysia dengan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI), kapasiti bateri besar, kalis air dan memiliki mod fotografi di dalam air.
Pakar Pemasaran Produknya, Clutch Wu berkata, peranti itu menggunakan paparan jenis OLED RealWorld Eco² yang dibangunkan bersama Samsung dengan skrin berukuran 6.78 inci dan mempunyai resolusi FHD, kadar penyegaran adaptif 120Hz, kecerahan puncak setinggi 6,500 nits dan cakupan warna gamut seluas 120 peratus.
Menurutnya, ia turut dilengkapkan dengan penyejuk kebuk wap sebesar 11,480 milimeter persegi (mm²) lebih besar berbanding yang ada pada realme GT 6 bagi memastikan penyingkiran haba yang efisien.
"Telefon pintar ini juga kalis air dan didatangkan dengan mod fotografi dalam air bagi membolehkan telefon merakam atau menangkap gambar sewaktu di dalam air sambil mengekalkan warna yang cantik.
"Menggunakan sistem operasi terbaru, peranti ini turut menampilkan pelbagai fungsi AI lain seperti Sketch to Image yang membolehkan contengan tangan diubah kepada imej lagi menarik dan Mod Snap AI yang mampu menangkap imej jelas walaupun melibatkan pergerakan pantas.
"Menghidupkan komponen telefon ini adalah bateri anod silikon berkapasiti 6,500mAh dan ia boleh dicas pada kuasa 120W melalui USB-C," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Explore The Unexplored with realme GT 7 Pro di Pavillion Bukit Jalil di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif realme Malaysia, Marcus Lin dan Ketua Pemasaran realme Asia Tenggara, Sherry Dong.
Mengulas lanjut, menurut Clutch, telefon berkenaan mampu mengecas dari kosong hingga 50 peratus dalam masa 14 minit sahaja manakala pengecasan penuh dalam masa 37 minit serta kesihatan bateri boleh kekal 80 peratus walaupun selepas empat tahun penggunaan.
"Walaupun memiliki bateri besar, GT 7 Pro tampil dengan badan nipis berukuran 8.5mm dan menggunakan sisi rata seperti kebanyakan telefon lain dalam pasaran sekarang dan terdapat dua pilihan warna yang disediakan iaitu oren dan kelabu.
"Peranti ini boleh mula didapatkan di Malaysia bermula Selasa ini pada harga RM3,699 bagi spesifikasi storan 12 gigabait (GB) 512GB dan hanya ada satu varian yang ditawarkan untuk GT 7 Pro.
"Realme juga menawarkan promosi pembelian awal dengan menyertakan Realme Buds Air 5 bernilai RM299 dan lanjutan waranti satu tahun bernilai RM399 secara percuma. Ia tertakluk selagi stok masih ada," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!