Siasatan kes 6 rakyat Malaysia termasuk penyanyi popular Kelantan hampir selesai

Siasatan berhubung kes yang melibatkan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi wanita popular Kelantan yang ditahan bersama dadah jenis pil kuda di Golok pada 1 November lalu hampir siap.
Siasatan berhubung kes yang melibatkan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi wanita popular Kelantan yang ditahan bersama dadah jenis pil kuda di Golok pada 1 November lalu hampir siap.
A
A
A

SUNGAI GOLOK - Siasatan berhubung kes yang melibatkan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi wanita popular Kelantan yang ditahan bersama dadah jenis pil kuda di Golok pada 1 November lalu hampir siap.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, pihaknya kini dalam proses menunggu bukti dan akan membuat kesimpulan sebelum kes terbabit diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

"Sekarang ini siasatan sudah hampir siap cuma tunggu bukti untuk buat kesimpulan.

"Kesemua suspek memberikan kerjasama baik sepanjang proses siasatan dilakukan.

"Pendakwaan akan dilakukan sebaik sahaja keputusan pemeriksaan jenis dadah serta cop jari diperoleh," katanya semasa sidang media di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan jenis dadah tersebut penting bagi mengetahui kandungan bahan terlarang terbabit dalam badan kesemua suspek, manakala cop jari pula adalah bagi mengesan sama ada keenam-enam mereka pernah atau mempunyai rekod jenayah di negara Gajah Putih ini.

Berhubung pelantikan peguam pula beliau berkata, di Thailand ada menyediakan khidmat peguam termasuk penterjemahan bahasa.

Jadsadavit memberitahu, bagaimanapun ia terpulang kepada kesemua suspek sama ada untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan atau sebaliknya mengupah peguam lain bagi melawan kes terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa sekarang kami belum dimaklumkan lagi mereka mahu menggunakan peguam atau tidak. Kes ini masih lagi dalam siasatan kami," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang dipercayai ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok.

Penahanan penyanyi berusia 20-an bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek yang ditahan polis Thailand semalam bersama 6,000 biji pil kuda didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Enam suspek itu kini ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!