Berhibur di Golok, polis Thailand buat ujian urin di premis hiburan
SUNGAI GOLOK - Polis Thailand akan menjalankan ujian urin di semua premis hiburan bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung termasuklah rakyat Malaysia yang berhibur di Golok.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, tindakan itu merupakan salah satu usaha yang dilakukan pihaknya dalam membendung penggunaan dadah semasa berhibur.
"Kita (Polis Thailand) sememangnya tegas dalam penyalahgunaan dadah. Kami tidak mahu ada pengunjung yang terlibat dalam perkara tersebut," katanya semasa sidang akhbar di sini selepas diminta mengulas isu rakyat Malaysia yang berhibur di Golok.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis Kelantan akan terus menjalankan ujian saringan air kencing secara mengejut di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dalam usaha untuk mengesan rakyat Malaysia yang terlibat penyalahgunaan dadah semasa berhibur di Thailand.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan itu sudah dijalankan dari semasa ke semasa di pintu masuk ke negara ini.
Terdahulu, Polis Kelantan mendedahkan Pekan Golok, Thailand yang hanya berjarak kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand di sini menjadi 'pusat hiburan' kepada rakyat Serambi Makkah terutama anak muda pada hujung minggu.
Rakyat Kelantan hanya perlu menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram yang ada untuk berhibur di sana, selain dipercayai menikmati 'sajian' dadah ditawarkan di pusat-pusat hiburan.
Maklumat tersebut berdasarkan info daripada rakan sekerjanya di sana mendedahkan bahawa sangat ramai anak muda dari negeri ini terutama pada Jumaat dan Sabtu ke sana untuk berhibur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!