SEREMBAN - Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandungnya seawal usia 12 tahun. Tertuduh berusia 48 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa selepas kesemua pertuduhan dibacakan. Mengikut pertuduhan, kali pertama perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Felda Bukit Jalor Gemencheh, Tampin pada 28 Disember 2015 ketika anak tertuduh berusia 12 tahun. Pertuduhan kedua dilakukan di lokasi sama pada 26 Disember 2018 ketika anaknya itu berusia 14 tahun manakala lima pertuduhan dilakukan pada tahun 2019 iaitu pada 5 Jun; 31 Ogos; 22 Oktober; 28 November dan 24 Disember juga di lokasi sama ketika mangsa berusia 15 dan 16 tahun. Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan. Timbalan Pendakwa Raya Nurhafizah Haron tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh merupakan bapa kandung mangsa. Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya hanya memberitahu akan melantik peguam. Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan berkomunikasi atau hubungi mangsa, perlu melapor diri di Balai Polis Air Kuning Selatan di Gemenceh setiap bulan dan perlu hadir di mahkamah setiap kali sebutan kes dan bicara. Jika kesemua syarat berkenaan gagal dipatuhi, jaminan diberikan akan ditarik balik dan menetapkan sebutan semula kes 12 Mac ini.