Membesar di kem pelarian, pelajar Palestin berjaya genggam PhD di usia 52 tahun
KUALA NERUS - Situasi genting yang berlaku di Palestin ketika ini tidak menghalang seorang warganya meneruskan pengajian sehingga berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini.
Imad Sulaiman Abedalmohsen Salem, 52, yang berasal dari Baitul Laham di Tebing Barat, Palestin menamatkan pengajian peringkat PhD di Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam universiti berkenaan selama tiga tahun.
Menurutnya, dia memulakan sesi pengajian pada 2021 sebelum pulang ke tanah airnya dan kini tinggal di Kem Pelarian Dheisheh, Bethlehem selepas menamatkan pengajian pada Jun 2024.
"Saya pernah ditangkap, disoal siasat lebih enam jam, diikat kaki tangan dan muka ditekup ke tanah pada akhir 2023 dan awal 2024. Rumah saya juga pernah beberapa kali diceroboh dan dirosakkan oleh rejim Zionis kerana mereka menuduh saya sebagai pengganas.
"Dalam tempoh setahun sejak peperangan tercetus pada 7 Oktober tahun lalu, lebih enam ahli keluarga terdekat saya yang berada di Gaza telah syahid.
"Namun, saya bersyukur kerana sokongan ahli keluarga, pendidik dan semangat yang jitu untuk meneruskan pengajian membolehkan saya dapat mengharungi semua cabaran ini seterusnya memperoleh PhD dalam tempoh tiga tahun, dua bulan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Selasa.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia melalui keadaan yang begitu mencabar, terutama setelah beberapa ahli keluarganya termasuk sepupu dan rakan telah syahid.
"Seperti mana-mana rakyat Palestin, saya menghadapi kekejaman, sekatan, dan kesukaran untuk berpindah dari satu tempat ke tempat lain.
"Keluarga, datuk nenek, dan ibu bapa saya telah dipindahkan dari kampung Palestin (Zakariyya) pada tahun 1948.
"Sejak itu, kami kekal di kem, tempat kami membesar dan menerima pendidikan walaupun dalam keadaan yang sukar," ujarnya.
Imad Sulaiman menggenggam PhD selepas 23 tahun menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah sarjana dalam Pentadbiran Pendidikan di Universiti Al-Quds, Palestin pada 2001.
"Walaupun, keadaan ekonomi dan kehidupan yang sukar menghalang saya daripada menyambung pengajian, saya sentiasa bercita-cita dan mengimpikan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Dengan izin ALLAH SWT, saya diberi peluang untuk belajar di UniSZA melalui bantuan beberapa rakan Palestin dan Jordan yang pernah belajar di sana.
"Saya memohon kemasukan dengan cadangan penyelidikan dan saya diterima, di mana Prof Dr. Najiha Abdul Wahid dipilih sebagai penyelia untuk PhD saya bertajuk 'Menilai Dasar Awam Kementerian Buruh dan Pendidikan Berkenaan Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal serta Hubungannya dengan Pasaran Buruh Palestin', " kongsi Imad Sulaiman.
Menurutnya, penyelidikan tersebut sejajar dengan bidang profesionalnya ketika bekerja di bawah Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal di Palestin.
Ujarnya, ia menangani dasar awam yang berkaitan dengan pendidikan dan latihan vokasional serta teknikal di Palestin, khususnya di Kementerian Buruh yang menyediakan perkhidmatan melalui pusat latihan vokasional dan Kementerian Pendidikan yang menawarkannya melalui sekolah vokasional.
"Antara kekangan utama sebagai kakitangan kerajaan dengan gaji bulanan selama lebih dua tahun, krisis kewangan yang dihadapi Pihak Berkuasa Palestin diburukkan lagi oleh pihak berkuasa Israel di mana kami hanya menerima 60 peratus daripada gaji kami.
"Sebab itulah saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Malaysia, terutamanya selepas perang, kerana mereka membiayai yuran pengajian selama dua semester untuk pelajar Palestin.
"Di samping itu, kerajaan Malaysia menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada semua pelajar Palestin yang mendaftar di universiti awam di Malaysia.
"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, dan saya mengucapkan terima kasih kepada penyelia kedoktoran saya, Prof Najiha dan Dr Anuar McAfee atas sokongan mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Imad Sulaiman berkata, PhD yang diperoleh akan membuka peluang kepadanya untuk bekerja sebagai pensyarah sambilan di universiti Palestin.
Katanya, ia juga akan menyokong beliau dalam memajukan usaha penyelidikan dan menerbitkan kajian akademik.
Bercerita mengenai situasi semasa di Palestin, katanya, keadaan di negara itu semakin sukar lebih-lebih lagi mereka menghadapi 'kempen pembunuhan beramai-ramai' secara menyeluruh termasuk di Tebing Barat.
"Rumah sedang dirobohkan dengan penduduk masih tinggal di dalamnya, kebanyakan daripada mereka terpaksa berpindah akibat tekanan daripada tentera Israel.
"Di Gaza sahaja, lebih 43,000 syahid, lebih 30,000 hilang, dan ratusan ribu cedera. Lebih 80 peratus rumah telah musnah, menyebabkan kebanyakan keluarga berteduh di bawah khemah.
"Situasi di Tebing Barat juga teruk di mana rakyat Palestin mengalami serangan hebat oleh peneroka (Israel), ramai yang syahid dan perlu berdepan sekatan pergerakan di pusat-pusat pemeriksaan serta sekatan jalan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!