Saran guna kaedah TNR tangani haiwan terbiar, elak berlaku kekerasan

Kerajaan disaran memberi perhatian lebih kepada pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dalam menangani masalah haiwan terbiar, seperti program TNR.(Gambar hiasan) Foto 123rf
Kerajaan disaran memberi perhatian lebih kepada pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dalam menangani masalah haiwan terbiar, seperti program TNR.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memberi perhatian lebih kepada pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dalam menangani masalah haiwan terbiar, seperti program perangkap-mandulkan-lepaskan (TNR).

Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) dalam satu kenyataan berkata, program berkenaan terbukti berkesan dalam mengawal populasi tanpa kekerasan.

Menurutnya, cadangan tersebut merupakan pendekatan yang boleh diambil dalam usaha memperkukuh Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan lebih tegas dalam melindungi haiwan daripada tindakan kejam.

“Persatuan menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar pihak kerajaan meneliti dan memperkukuhkan akta tersebut.

“Kami percaya bahawa kajian semula dan pindaan terhadap akta ini amat penting untuk memastikan perlindungan lebih berkesan terhadap haiwan terbiar, terutama dalam menangani kekejaman seperti amalan tembakan sesuka hati,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

SAFM menyarankan kerajaan bekerjasama dengan JPV, PBT dan NGO berkaitan dalam usaha menyelesaikan masalah populasi haiwan terbiar.
SAFM menyarankan kerajaan bekerjasama dengan JPV, PBT dan NGO berkaitan dalam usaha menyelesaikan masalah populasi haiwan terbiar.

Sebelum ini, Ismail Sabri membangkitkan isu kekejaman dan penganiayaan terhadap haiwan di Dewan Rakyat dan berharap pihak majlis daerah tidak menembak haiwan liar sesuka hati tanpa sebab yang munasabah dan dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Jelas beliau, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat telah 'mengikat' pihak majlis daerah dalam mengambil tindakan terhadap haiwan-haiwan terbiar atau liar.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan termasuk mengkaji semula atau meminda akta berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, SAFM turut menyarankan kerajaan bekerjasama dengan JPV, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam usaha menyelesaikan masalah populasi haiwan terbiar dengan lebih sistematik dan berkesan.

“Kerjasama ini akan memastikan pelaksanaan yang lebih komprehensif dan memberi manfaat kepada haiwan serta masyarakat.

"Kami berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan segera dalam meneliti dan memperkukuhkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 demi melindungi hak haiwan terbiar dan memastikan mereka tidak menjadi mangsa kekejaman," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!