SEREMBAN - Seorang pembuat keranda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 14 tahun. Tertuduh berusia 32 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa selepas kesemua pertuduhan dibacakan. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tepi sebuah kedai runcit di Tampin Jaya, Tampin. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan memaksanya melakukan perbuatan seks terhadapnya. Kedua-dua perbuatan itu dilakukan pada 23 Januari 2020, jam lebih kurang antara 8 pagi sehingga 11.50 pagi. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017(Akta 792), yang boleh dihukum bawah akta sama, sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh disebat. Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafizah Haron tidak mencadangkan sebarang jaminan. Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia tidak mempunyai wang dan tiada sesiapa yang hadir untuk menjaminnya. Mahkamah tidak memberikan jaminan dan sebutan semula kes pada 12 Mac ini.