Terkejut kehadiran PGA, penyeludup lari tinggalkan produk kosmetik

Sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu dengan meninggalkan produk kosmetik di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang pada Isnin.
Sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu dengan meninggalkan produk kosmetik di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang pada Isnin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Terkejut dengan kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu dengan meninggalkan barangan kosmetik bagi mengelak dicekup dalam serbuan di pangkalan haram Pohon Jambu di sini pada Isnin.

Semasa penugasan Op Taring Wawasan kira-kira jam 2.45 pagi, anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu telah ternampak beberapa orang lelaki sedang memindahkan kotak di tepi tebing Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, menyedari kehadiran anggota, kesemua penyeludup terbabit melarikan diri menaiki perahu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kotak-kotak itu mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik dipercayai dari Thailand tanpa dokumen sah bernilai RM7,100.

"Barangan ini dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan dan kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya pada Selasa.

Menurut beliau, hasil rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.

Ujarnya, pada hari yang sama sekitar jam 8.30 malam Batalion 7 PGA Kuantan telah menemukan beberapa kotak kosmetik jenis krim muka dan sabun bernilai RM55,000 di pangkalan haram Jeram Perdah 2 di sini.

Nik Ros Azhan memberitahu, barangan kosmetik terbabit dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan dan kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

"Hasil rampasan dibawa ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!