'Titah Sultan Pahang haram vape, peluang besar corak masa depan lebih sihat'

Hantaran di laman Facebook Tuan Ibrahim. Gambar kecil: Tuan Ibrahim
Hantaran di laman Facebook Tuan Ibrahim. Gambar kecil: Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengharamkan vape secara total merupakan peluang besar untuk mencorak masa depan yang lebih sihat dan berdaya maju sejajar dengan aspirasi kesejahteraan negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, larangan itu boleh diiringi dengan pembangunan industri alternatif seperti terapi gantian nikotin yang lebih selamat.

Menurutnya, ia dijangka akan membuka ruang pelaburan baharu dan mencipta pekerjaan untuk rakyat.

"Selain itu, pendidikan awam mesti digerakkan dengan lebih jitu bersama insentif seperti potongan cukai kesihatan kepada mereka yang meninggalkan tabiat ini.

"Insentif ini bukan sahaja menggalakkan perubahan tingkah laku tetapi turut mengurangkan beban kos perubatan jangka panjang,"katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).

Tambah Tuan Ibrahim, bagi memastikan impak ekonomi terkawal, penjual vape boleh dilatih semula untuk menceburi sektor baharu seperti teknologi hijau atau perniagaan digital.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dalam masa sama, zon bebas vape di kawasan awam seperti sekolah, hospital, kedai makan dan taman rekreasi boleh diperkenalkan sebagai langkah peralihan.

"Zon ini boleh juga berfungsi untuk mendidik masyarakat tentang bahaya vape secara berterusan, terutama kepada golongan remaja yang paling terkesan dengan trend terkini.

"Selain itu, cukai tinggi terhadap vape yang masih beredar di pasaran boleh diwujudkan sementara. Dana yang dikumpul boleh disalurkan kepada sektor kesihatan dan program pencegahan ketagihan, khususnya dalam kalangan belia," ulasnya.

Beliau memberitahu, industri vape juga boleh dipandu untuk menghasilkan teknologi kesihatan atau produk mesra alam.

Jelasnya, transformasi tersebut menjadikan larangan vape bukan sekadar pengakhiran, tetapi titik permulaan kepada ekonomi yang lebih inovatif.

"Gabungan langkah-langkah ini bukan sahaja melindungi kesihatan awam tetapi juga membuka jalan kepada transformasi ekonomi yang inklusif dan mampan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!