Pengurus syarikat keselamatan didakwa buat tuntutan palsu
MELAKA - Pengurus syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas lima tuduhan mengemukakan butiran matan palsu bagi tuntutan gaji pengawal keselamatan.
Tertuduh, Zainal Abidin Za'abah, 55, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kelima-lima pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Pengesahan Pelaksanaan Kunci Jam Watchman Clock Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di Sekolah/Institusi Pendidikan di Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Zon Alor Gajah yang diketahui sebagai palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Jalan Kolam Air, Alor Gajah, antara 1 Mei hingga 15 September 2019.
Pendakwaan bagi kes itu dijalankan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama, memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan ke atas tertuduh.
Namun Peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zahad Khan yang mewakili tertuduh merayu wang jaminan yang rendah sebanyak RM5,000 dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri termasuk ke luar negara kerana tiada pasport.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh diarah melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes..
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!