Pesara guru rugi RM570,000 ditipu pelaburan emas
KUALA TERENGGANU - Seorang pesara guru wanita berputih mata apabila wang simpanan peribadi dan persaraannya sebanyak RM570,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan jual beli emas daripada sebuah koperasi pelaburan di Pahang pada 2021.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita yang berusia 59 tahun itu tertarik untuk menjadi ahli di sebuah koperasi pelaburan berkenaan pada 29 Disember 2021 setelah melihat koperasi tersebut banyak menaja program-program keagamaan.
Azli menambah, mangsa juga pernah melihat iklan koperasi tersebut di siaran televisyen selain turut menawarkan kadar pulangan dividen pelaburan dengan kadar lapan peratus sehingga 15 peratus setahun menyebabkan mangsa menjadi yakin dengan tawaran daripada syarikat berkenaan.
"Kemudian mangsa ditawarkan untuk menyertai pelaburan jual beli emas yang dikatakan diuruskan oleh anak syarikat koperasi berkenaan dengan tawaran kadar pulangan keuntungan yang tinggi.
"Mangsa telah didorong untuk membuat bayaran modal bagi tujuan membeli emas dan dijanjikan dengan keuntungan tinggi daripada penjualan emas berkenaan.
"Oleh itu, mangsa telah menjalankan sebanyak 17 transaksi ke dalam dua akaun berbeza dari bulan Disember 2021 sehingga Julai 2022 di mana jumlah keseluruhan pelaburan yang disertai sebanyak RM620,000," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azli berkata, wanita tersebut memaklumkan ada menerima bayaran balik keuntungan dijanjikan berjumlah RM50,000 dalam urusan berkenaan.
Bagaimanapun, Azli berkata, tiada sebarang bayaran lagi dibuat selepas itu sehingga laporan polis dibuat pada Isnin lalu berikutan mangsa merasakan dirinya ditipu oleh koperasi tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak dua laporan polis telah dibuat setakat ini oleh mangsa-mangsa yang mengalami kerugian setelah menyertai pelaburan di koperasi berkenaan.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!