Kudung digilis kereta api, Sulaiman gigih bekerja demi minat

Sulaiman memeriksa kayu untuk membuat perabot yang ditempah pelanggan.
Sulaiman memeriksa kayu untuk membuat perabot yang ditempah pelanggan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kudung kedua-dua belah kaki akibat digilis kereta api 40 tahun lalu tidak menghalang seorang warga emas meneruskan kerja sebagai tukang kayu di Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka), Bachok.

Sulaiman Setapa, 65, yang juga ketua tukang kayu di pusat itu menggunakan kudrat dan kebolehannya dengan memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan yang memerlukan.

Mengimbas kejadian yang menimpanya, Sulaiman berkata, ketika peristiwa itu berlaku dia menaiki kereta api dari Tanah Merah untuk pulang ke kampungnya di Bertam, Gua Musang.

"Saya berdiri di hadapan pintu kerana hanya beberapa saat sahaja kereta api akan berhenti di stesennya.

"Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tiba-tiba terasa pening dan terjatuh berguling-guling di atas landasan sebelum kedua-dua kaki digilis kereta api yang sedang bergerak," katanya kepada pemberita.

Sulaiman kemudian dimasukkan ke wad dan terpaksa menjalani pembedahan membuang bahagian bawah paras lutut yang hancur digilis.

Menurutnya, usia 16 tahun dan masih muda tidak mematahkan semangatnya untuk berdikari dan meneruskan hidup.

"Saya kemudian mengikut rakan-rakan bekerja di Proka Kota Bharu pada tahun 1987 sebagai tukang kayu dan Alhamdulillah kini diberi kepercayaan sebagai ketua di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman mengakui tidak mudah untuk berada pada tahap yang dilalui namun bersyukur kerana usahanya berbalas dan mendapat pulangan yang baik.

"Saya banyak belajar asas pertukangan di sini dan kini berkongsi ilmu bersama 42 Orang Kurang Upaya (OKU) yang lain di sini bagi menjana pendapatan mereka," katanya.

Kata Sulaiman lagi, di Proka mereka membuat pelbagai jenis perabot yang ditempah pelanggan dari seluruh negara.

"Kami semua mahir dalam pertukangan dan mampu membuat perabot termasuk almari, katil, rak buku, kabinet dengan menggunakan bahan berkualiti bergantung pada pilihan pelanggan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!