Noh bidas Kor Ming dakwa 6 menteri KPKT gagal selesai isu rumah pekerja estet
SHAH ALAM - Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar membidas kenyataan Nga Kor Ming kononnya enam menteri di bawah portfolio itu gagal menyelesaikan isu pemilikan rumah membabitkan pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya sejak tahun 1998.
Noh berkata, sebagai menteri berkaitan, Kor Ming diingatkan tidak menjadi 'hero' dalam isu pemilikan rumah pekerja ladang.
Menurut Noh, projek perumahan itu sebenarnya telah dirancang sejak beliau menjawat jawatan Menteri KPKT lagi.
"Majlis pecah tanah dan peruntukan untuk projek perumahan tersebut telah diluluskan, (namun apabila) BN (Barisan Nasional) kalah dalam pilihan raya (umum) 2018, (maka) projek tersebut telah dibatalkan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Selasa.
Pada 30 Oktober lalu, Kor Ming meluahkan rasa syukur apabila berjaya menyelesaikan isu pemilikan rumah membabitkan pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya selepas 26 tahun dan enam menteri KPKT.
Projek pembinaan perumahan itu melibatkan 245 keluarga pekerja ladang di kawasan tanah berkeluasan kira-kira lapan hektar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!