Tandas awam di Pulau Pinang capai tahap sehingga empat bintang

Tandas awam di Anjung Gurney antara tandas awam yang bersih di Pulau Pinang.
Tandas awam di Anjung Gurney antara tandas awam yang bersih di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tahap kebersihan tandas awam di Pulau Pinang adalah baik dan secara puratanya berada dalam kategori antara 3 hingga 4 bintang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye berkata, sejak 2008 sehingga kini, Pulau Pinang sentiasa mementingkan status sebagai Negeri Hijau dalam menjaga kebersihan termasuk tandas awam di seluruh negeri ini.

"Tahap kebersihan tandas di Pulau Pinang berada dalam kategori 'average' iaitu 3 hingga 4 bintang. Ini menunjukkan tandas awam di Pulau Pinang termasuk di rumah ibadat, pusat peranginan, restoran, hotel dan pusat membeli belah berada pada tahap yang bersih.

"Kategori 5 bintang pun ada, contohnya pada minggu lalu, sebuah pusat beli belah di Seberang Jaya telah memenangi tempat pertama tandas bersih untuk seluruh negara bagi kategori pusat beli belah.

"Saya percaya, semua pihak terutamanya rakyat Pulau Pinang akan mengikut saranan kerajaan negeri untuk mementingkan kebersihan terutamanya di tandas awam," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Pulau Pinang 2024 di Persiaran Gurney di sini pada Selasa.

Mooi Lye (tiga dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Pulau Pinang 2024 di Persiaran Gurney pada Selasa.
Mooi Lye (tiga dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Pulau Pinang 2024 di Persiaran Gurney pada Selasa.

Tambah beliau, kerajaan negeri yakin semua tandas awam di negeri ini boleh mencapai kategori 5 namun ia memerlukan masa, usaha dan kerjasama semua pihak.

Kata beliau lagi, Di Pulau Pinang, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bertekad untuk memastikan setiap tandas awam yang disediakan mencapai tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Garis Panduan Pengurusan dan Penarafan Bintang Tandas Awam di Malaysia yang diperkenalkan pada Mac 2024 telah dipertimbangkan dan mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 18 September lalu.

"Surat pemakluman berkenaan pemakaian Garis Panduan ini kepada kedua-dua PBT akan dikeluarkan pada bulan ini dan pelaksanaan garis panduan ini akan bermula pada tahun hadapan.

"Garis panduan ini menetapkan tahap kebersihan tandas 'Bersih, Menawan dan Wangi (BMW)' sebagai salah satu syarat lesen perniagaan," tambahnya.

Mooi Lye melawat tandas awam di Anjung Gurney selepas merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Pulau Pinang 2024.
Mooi Lye melawat tandas awam di Anjung Gurney selepas merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Pulau Pinang 2024.

Mooi Lye berkata, bagi memastikan kebersihan tandas awam sentiasa terpelihara, satu mekanisme pemantauan kendiri akan diwujudkan bagi membolehkan agensi kerajaan, swasta dan pemilik perniagaan melaksanakan pemantauan secara berkala.

"Ini semua bertujuan menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh negeri yang bersih dan mesra pengguna. Tandas premium juga turut diperkenalkan di kawasan pelancongan utama. Setakat ini, kita mempunyai lebih daripada enam tandas premium di seluruh negeri ini.

"Ini diharapkan akan membentuk budaya tanggungjawab terhadap kebersihan tandas awam di setiap sektor. Selain itu, satu dasar baharu yang menetapkan Kebersihan Tandas BMW sebagai salah satu syarat lesen perniagaan akan dilaksanakan pada tahun depan.

"Pelaksanaan akan diuruskan oleh MBPP dan MBSP. Dasar ini adalah manifestasi komitmen Pulau Pinang untuk menyediakan tandas awam yang bersih dan mesra pengguna kepada seluruh masyarakat dan pengunjung," katanya.

Tambah beliau, bagi menyahut sambutan Hari Tandas Sedunia tahun ini, Kerajaan Pulau Pinang telah memperkenalkan Pertandingan Tandas Terbersih Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025.

"Ini adalah sebagai satu inisiatif untuk memupuk kesedaran berterusan akan pentingnya tandas yang bersih dan mesra pengguna.

"Pertandingan itu akan berlangsung bermula 1 Mac sehingga 30 September 2025. Pemenang-pemenang akan diumumkan pada Sambutan Hari Tandas Sedunia Tahun 2025," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!