Penggantungan Nafas tidak jejas operasi, obligasi - KPKM
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) tidak menjejaskan operasi, obligasi dan kewajipan organisasi berkenaan kepada mana-mana pihak ketiga.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana ini fungsi dan peranan Nafas akan diteruskan oleh pentadbir yang dilantik.
“Bagi urusan perniagaan Nafas yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir Nafas.
“Sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian Nafas di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola bagi memperkasa semula Nafas secara holistik.
“Ini untuk memastikan Nafas beroperasi mengikut hala tuju dan spirit (semangat) penubuhannya selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta penjelasan berkaitan kontroversi yang berlaku dalam Nafas dan hala tuju KPKM dalam menstruktur semula organisisasi itu.
Pendaftar Pertubuhan Peladang pada 1 November lalu menggantung Perlembagaan Nafas susulan wujud pelbagai isu berbangkit.
Arahan penggantungan itu dikeluarkan Ketua Pengarahnya, Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seskyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Tze Tzin mengenai jangkaan berapa lama tempoh penggantungan itu dibuat, Mohamad berkata, ia bergantung kepada hasil laporan siasatan dijalankan.
“Tempoh masa penggantungan ini kita akan lihat recommendation (cadangan) daripada pihak yang menjadi tatakelola ini akan selesai semua dan jika ada ulasan yang baik baru kita angkat penggantungan itu dengan pindaan-pindaan di bawah kuasa menteri dan kementerian dengan turut dinasihati oleh penasihat undang-undang.
“Kita akan ambil kira semua pandangan supaya bila tarik (balik) penggantungan itu ia (Nafas) akan berjalan dengan baik dan tidak ada kuasa bertindih pada mas akan datang,” katanya.
Penggantungan Nafas yang berkuasa kuasa 1 November lalu merupakan kali ketiga tindakan sama dikenakan kepada organisasi berkenaan.
Pada 2018, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pernah menggantung operasi Nafas susulan masalah serius tadbir urusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!