Kaji semula harga minimum padi, elak pesawah terus alami kerugian

Harga minimum padi lebih sesuai dinaikkan kepada RM1,800 susulan peningkatan harga benih, minyak diesel, kos pembajakan dan penuaian sejak kebelakangan ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Yazid)
Harga minimum padi lebih sesuai dinaikkan kepada RM1,800 susulan peningkatan harga benih, minyak diesel, kos pembajakan dan penuaian sejak kebelakangan ini. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Yazid)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengkaji semula harga minimum padi supaya lebih mencerminkan kepada kos pengeluaran sebenar dan mengelakkan pesawah daripada terus mengalami kerugian yang akhirnya menjejaskan keselamatan makanan di negara ini.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kos input pertanian yang meningkat seperti baja, racun perosak dan tenaga kerja semakin membebankan pesawah, sementara harga padi kekal dikawal rendah demi melindungi pengguna.

“Situasi ini menambahkan tekanan kepada mereka yang sudah pun bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“MTEM percaya bahawa masa depan sektor pertanian bergantung kepada reformasi menyeluruh yang berani dan tindakan tegas menentang ketirisan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membincangkan mengenai penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,500 satu tan dengan semua pihak berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga minimum belian padi kini ditetapkan pada kadar RM1,300 bagi setiap tan metrik dan pelaksanaan tersebut merangkumi di Sabah dan Sarawak mulai 15 Februari lalu.

Selain itu, tambah Ahmad Yazid, kualiti baja subsidi dan kelewatan penghantaran perlu diberi perhatian segera kerana pesawah akan menanggung kerugian serta terpaksa membeli bahan untuk menyuburkan tanaman berkenaan pada harga komersial.

Menurutnya, MTEM meminta pihak berkaitan agar mengambil tindakan pantas dan memastikan baja yang disalurkan adalah berkualiti serta sampai tepat pada waktu.

Artikel Berkaitan:

“Kami menyokong strategi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk menghasilkan baja sendiri sebagai langkah mengawal kos dan mengurangkan ketirisan. Pengeluaran yang berkesan memerlukan pendekatan kompeten dan memahami keperluan tempatan.

“Bagaimanapun, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada tatakelola yang cekap dan pengurusan bebas daripada pengaruh politik,” ujarnya.

Ahmad Yazid berkata, hak pesawah untuk menerima subsidi baja adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.

Tambahnya lagi, MTEM mengecam ketirisan dalam program tersebut yang telah lama berlaku melalui bantuan diberikan kepada golongan berkenaan yang sering diselewengkan oleh pihak berkepentingan.

“Kami mendesak agar kawalan lebih ketat dilaksanakan supaya bantuan ini sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa berlaku manipulasi atau penjualan di pasaran terbuka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!