Tak sah zakat wang, harta haram

HARTA yang haram tidak wajib dan tidak sah dibayar zakat daripadanya. -Foto: CANVA
HARTA yang haram tidak wajib dan tidak sah dibayar zakat daripadanya. -Foto: CANVA
A
A
A

SEKARANG ramai yang sudah mula menghitung zakat harta masing-masing lantaran hujung tahun bakal melabuhkan tirainya bulan depan.

Namun begitu, bukan semua harta diwajibkan zakat kerana tidak memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Salah satu daripadanya ialah harta-harta haram seperti wang hasil rasuah, judi, hasil curian dan seumpamanya.

Menjelaskan perkara itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, harta yang haram tidak wajib dan tidak sah dibayar zakat daripadanya.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

“Ini kerana zakat hanya diwajibkan ke atas pemilik yang sah dan apabila wujudnya pemilikan penuh, sedangkan orang yang memegang harta itu tidak dikira sebagai pemilik yang sah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #827: Zakat terhadap harta haram yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri.

Ia selari dengan hadis diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT itu MAHA BAIK dan tidak menerima sesuatu kecuali ia perkara yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Artikel Berkaitan:

Menguatkan lagi nas itu apabila kitab Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan: “Tidak diwajibkan zakat ke atas harta haram seperti harta yang dicuri, dirompak, harta riba, harta dari sumber rasuah dan lain-lain tidak dimiliki oleh pemegangnya. Ini kerana matlamat zakat adalah untuk penyucian harta dan pemberi zakat itu sendiri.”

Andai pemilik harta haram tadi hendak bertaubat dan melepaskan dirinya daripada harta haram itu, Dr Zulkifli menjelaskan, ia hendaklah dipulangkan kepada pemiliknya atau wakilnya.

“Jika pemilik asalnya sudah mati, ia wajib diserahkan kepada warisnya. Andai tidak diketahui warisnya dan sudah berputus asa mencarinya, maka wajib pemilik harta haram tadi untuk menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam secara umum.

MATLAMAT zakat adalah untuk penyucian harta dan pemberi zakat itu sendiri. -Foto: CANVA
MATLAMAT zakat adalah untuk penyucian harta dan pemberi zakat itu sendiri. -Foto: CANVA

“Misalnya keperluan untuk jambatan, kandang kuda, tempat pengajian atau tempat golongan sufi berkumpul, masjid-masjid dan keperluan jalan raya Makkah dan seumpamanya yang boleh dikongsi bersama orang Islam,” katanya yang memetik pandangan Imam Al-Ghazali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!