Tun M tidak pernah iktiraf kewujudan Israel

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel kerana ia merupakan sebuah negara haram.

Beliau berkata, Israel ditubuhkan secara haram tanpa pungutan suara dalam kalangan penduduk Palestin seperti yang Malaysia lakukan di Sarawak, Sabah dan Singapura.

“Tidak pernah saya ‘ia kan’ adanya Israel atau hak untuk kawal keselamatannya.

“Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel. Israel memang negara haram,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf Israel, bagaimanapun beliau membidas dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan memperbodohkan rakyat.

Ketika menjelaskan pendirian Malaysia, Anwar menegaskan bahawa negara ini tidak mengiktiraf Israel secara ‘de jure’, meskipun keberadaan negara itu di peringkat antarabangsa adalah fakta ‘de facto’.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Malaysia hanya akan mengiktiraf Israel jika negara haram tersebut mengiktiraf Palestin.

“Jika Israel iktiraf Palestin, Palestin akan iktiraf Israel. Arafat bersetuju. Kita (Malaysia) juga setuju. Bagaimanapun, hingga sekarang Israel tidak mengiktiraf Palestin. Ia hanya iktiraf penguasa Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang masa kita iktiraf negara Palestin. Kita terima Duta Palestin. Jangan samakan persetujuan menerima cadangan dua negara dengan pengiktirafan Israel,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!