NAFFCO perkenal teknologi pengurusan bencana - Ahmad Zahid
DUBAI - Malaysia dijangka dapat meraih manfaat besar daripada penggunaan teknologi inovatif seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) yang diketengahkan oleh syarikat-syarikat terkemuka di Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk NAFFCO.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, teknologi ini berpotensi memperkukuhkan sistem pengurusan bencana negara sekali gus meningkatkan keupayaan negara dalam menangani cabaran semasa.
“Semasa berada di Dubai, saya berpeluang melawat NAFFCO, sebuah peneraju global dalam bidang keselamatan dan perlindungan dengan kehadiran di lebih daripada 100 negara.
“Usaha mempelajari teknologi terkini serta pertukaran pengetahuan amat penting, terutama ketika kita bersiap siaga menghadapi risiko global seperti bencana yang dipengaruhi oleh perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Ahmad Zahid dan delegasi telah melawat ibu pejabat dan kilang NAFFCO di kawasan Zon Bebas Jebel Ali, Dubai pada Isnin.
Antara pengurusan tertinggi NAFFCO yang menyambut kedatangan rombongan delegasi Malaysia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif NAFFCO, Khalid Al Khatib dan Pengarah Urusan, Ali Khalid Al Khatib.
NAFFCO (National Fire Fighting Manufacturing FZCO) merupakan pengeluar produk pemadam kebakaran yang berpangkalan di Timur Tengah dan produknya terdiri daripada dua segmen perniagaan utama iaitu perkhidmatan keselamatan serta perlindungan kebakaran.
Tambah Ahmad Zahid, kepakaran dan komitmen NAFFCO sejajar dengan misi kita untuk melindungi nyawa, harta benda, dan alam sekitar.
“Dengan meneroka peluang kerjasama, kita dapat memperkukuh kesiapsiagaan bencana, memperkasakan barisan penyelamat, dan memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Bersama, kita mampu membina masa depan yang lebih selamat, lestari, dan berdaya tahan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!