Selangor cadang lima peratus rizab Persekutuan diberi kepada semua negeri - Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor mengemukakan cadangan agar kerajaan Persekutuan menggunakan lima peratus daripada dana rizab Persekutuan untuk diberikan kepada kesemua negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sekiranya diluluskan, perkara masih dalam pertimbangan kerajaan Persekutuan itu akan menjadi satu lonjakan amat besar kepada sumbangan peruntukan terhadap kerajaan negeri.

"Saya telah kemukakan agar lima peratus daripada sumbangan dana rizab kerajaan pusat boleh diberikan kepada semua negeri termasuk Selangor dan kalau lima peratus kita peroleh, ia merupakan satu lonjakan besar sumbangan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri," ujarnya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Muhammad Izuan Ahmad Kassin (PH-Kota Damansara) mengenai usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan daripada kerajaan Persekutuan.

Amirudin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menjelaskan, pihaknya juga telah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada kerajaan Persekutuan bagi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Selangor yang lazimnya memerlukan sumbangan besar bagi memberi impak kepada penerimanya.

Jelasnya, SME keperluan peruntukannya lebih besar dan peruntukan yang lebih besar itu tidak mampu dilakukan kerajaan negeri kerana sumbangannya perlu sekurang-kurangnya RM200,000 atau RM300,000 sehingga RM1 juta untuk memberi makna yang lebih kepada SME.

"Walaupun begitu, bagi perniagaan yang telah berdaya saing, kebanyakkannya memerlukan fasiliti bukan kewangan dan hanya memerlukan kemudahan-kemudahan tertentu, itu kerajaan negeri boleh sediakan menerusi dasar yang dirangka," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!