KKM belanja RM23.25 bilion beli ubat dalam tempoh 8 tahun
KUALA LUMPUR - Sebanyak RM23.25 bilion dibelanjakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membeli ubat-ubatan sejak 2015 sehingga 2023.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembelian ubat-ubatan pada 2023 juga meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh lapan tahun iaitu RM3 bilion berbanding RM2.3 bilion pada 2015.
Peningkatan peruntukan kewangan ini adalah selari dengan kenaikan harga ubat-ubatan, pertambahan bilangan pesakit dan penggunaan ubat-ubatan baharu mengikut kepakaran yang lazimnya masih dalam tempoh paten dan harga ubat lebih mahal.
“KKM juga mengunjurkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menampung keperluan ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti KKM akan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai jumlah keseluruhan perbelanjaan tahunan pembelian ubat-ubatan bagi hospital dan klinik kerajaan bermula tahun 2015 serta jangkaan untuk lima tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, bagi memastikan keterjaminan ubat-ubatan untuk negara menerusi pembangunan teknologi dan kapasiti pengeluaran tempatan, beberapa strategi telah dibangunkan berpandukan kepada Dasar Ubat Nasional (DUNas) di bawah Komponen Akses Kepada Ubat-Ubatan.
Antara strategik tersebut ialah memastikan ketersediaan ubat-ubatan National Essential Medicine List (NEML) menerusi galakan lebih banyak pengilangan tempatan serta memberi keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk, dan menambah baik ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem penjejakan dan pengesanan produk farmaseutikal.
“Selain itu, KKM sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal di negara ini bermula dari penemuan, kajian pra-klinikal dan klinikal, pengilangan, pengedaran dan sebagainya.
“Kerjasama ini merentasi pelbagai kementerian dan agensi awam serta melibatkan sektor swasta khususnya pemain industri. Melalui sesi libat urus ini, KKM berusaha untuk mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan bagi disyorkan semasa pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security & Self-Reliance (ADSSR),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!