Isteri Tun Daim mahu kes diteruskan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mahu pendakwaan kes gagal mengisytiharkan harta membabitkan suaminya, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin di Mahkamah Sesyen di sini, diteruskan demi membersihkan nama bekas Menteri Kewangan itu.
Menerusi satu kenyataan media, Na'imah, 67, berkata, sudah menjadi hasrat arwah suaminya supaya perbicaraan diteruskan sehingga tamat walaupun selepas pemergiannya.
Susulan itu beliau berkata, tiada keperluan bagi Peguam Negara (AG) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyemak atau menamatkan pendakwaan terhadap Daim.
“Daim sentiasa ternanti-nanti kesnya di mahkamah kerana yakin beliau akan dibuktikan tidak bersalah.
“Sejak awal siasatan SPRM, lebih setahun lalu, kami secara konsisten mengatakan pertuduhan ini remeh, berniat jahat dan bermotifkan politik.
“Jelas daripada fakta bahawa, pihak terbabit yang mencetuskan siasatan mampu menyatakan, jenis kesalahan yang kononnya dilakukan oleh Daim,” katanya yang merujuk kepada kenyataan AG dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, selepas pemergian ahli perniagaan itu pada 13 November lalu.
Beliau berkata, bukan sahaja tiada keperluan untuk AG atau Ketua SPRM menyemak semula atau menarik balik pendakwaan terhadap tokoh korporat itu, malah pihak Daim juga tidak mahu membuat permohonan supaya kes berkenaan dihentikan.
Menurutnya, pihak Allahyarham tidak akan membenarkan individu terbabit berselindung di sebalik kematian Tun Daim semata-mata mahu mengelak daripada mengambil tanggungjawab di atas fitnah yang dilontarkannya berulang-ulang, secara terbuka.
Katanya, pembebasan bekas pemimpin UMNO itu kelak, akan membuktikan pengkhianatan dan pembohongan pihak berkenaan.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menulis kepada AG, berhubung keputusan kami ini.
“Peguam akan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen, bahawa perbicaraan perlu diteruskan yang mana pengurusan kes ditetapkan pada Rabu,” katanya.
Pada 13 November lalu, Sinar Harian melaporkan Allahyarham Tun Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor pada usia 86 tahun.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) akan memutuskan tindakan seterusnya berhubung kes yang dihadapi Tun Daim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!